fbpx

Maut ditolak kekasih dari tingkat 23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa selepas ditolak dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang wanita maut apabila jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium selepas ditolak kekasihnya sendiri dalam kejadian di Setia Alam di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.08 malam itu, mangsa merupakan warga Thailand berusia 32 tahun kemudiannya ditemui tertiarap di tingkat tujuh kondominium itu.

Difahamkan, semasa kejadian suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun tersebut berada di bawah pengaruh dadah sewaktu meletusnya pergaduhan itu.

Tingkat tujuh kondominium tersebut merupakan kawasan riadah termasuk mempunyai kolam renang dan gym.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan keterangan saksi semasa kejadian, terdengar pergaduhan di antara pasangan kekasih itu.

Katanya, saksi turut memaklumkan melihat suspek yang merupakan pemandu lori tersebut menolak kekasihnya dari aras 23 bangunan kediaman itu.

“Mangsa kemudian terjatuh di tingkat tujuh kondominium. Suspek berjaya ditangkap di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian,” katanya hari ini.

Mohd. Iqbal menjelaskan, pasangan kekasih itu dikatakan baharu bercinta sejak tiga bulan lalu, manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Canabis.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah. Permohonan terhadap suspek akan dibuat pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 0122666025,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI