SEKITAR 55,000 lautan manusia membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur Sabtu lalu berkongsi detik manis bersama penyanyi terkemuka Britain, Ed Sheeran menerusi konsert jelajahnya, +-=÷X atau The Mathematics Tour.
Penulis antara satu ‘titik kecil’ yang berkesempatan meraikan malam gemilang persembahan bintang red headed kelahiran Halifax, West Yorkshire, England itu.
Pada pengamatan peribadi, kemenjadian persembahan Sheeran, 33, atau nama lengkapnya, Edward Christopher Sheeran sangat ulung daripada segi permainan listrik vokal, petikan gitar ‘berganti-ganti’, pencahayaan pentas serta komunikasi cemerlang dengan audiens.

Sheeran tidak banyak ‘bercakap’, kalaupun beliau berbuat demikian, aksen Inggerisnya sangat pekat hingga apa yang terucap dari bibirnya sukar untuk difahami. Apatah lagi, buat mereka yang duduk di kerusi yang terbelakang iaitu di tempat duduk CAT 3.
Pemuzik bijak
Kendatipun, suami kepada wanita bernama Cherry Seaborn itu sangat teruja untuk sekali lagi beraksi di pentas yang sama selepas kali pertama berbuat demikian pada 2019.
Berada sedikit kejauhan tidak menghalang penulis menikmati muzik Sheeran yang bervariasi. Dari genre pop, folk-pop dan soft rock, dia membuktikan kehadirannya ‘sophomore’ kali ini bukan sesuatu yang sia-sia meskipun berdepan dengan beberapa tentangan.
Tepat pukul 9 malam, Sheeran memulakan persembahan dengan lagu perdana berjudul Tides yang dipetik daripada diskografi kelimanya berjudul Equals.
Dari satu sudut, kelihatan Sheeran seperti mencari ‘rentak’ persembahan dengan sistem bunyi atau sound yang sedikit membingungkan, namun situasi itu tidak berpanjangan.
Kematangannya sebagai seorang penghibur antarabangsa terpamer penuh bergaya apabila bijak mengenal pasti apa yang kurang dan digantikan dengan energi dan tindakan selayaknya.
“Apa khabar semua? Terima kasih kerana merempuh kesesakan lalu lintas, bersesak naik kereta api untuk sama-sama menikmati malam ini dengan saya,” kata pemenang trofi Grammy sebanyak empat kali itu.
Buat peminat tegar muzik Sheeran, malam The Mathematics Tour tidak hanya bergema dengan untaian lagu popularnya seperti Photograph, Shape of You, Thinking out Loud dan banyak lagi.
Dia juga menyanyikan lagu-lagu berstatus ‘deepcut’ atau kurang dikenali orang kebanyakan seperti American Town, Peru, Celestial dan beberapa seleksi lain.
‘On time’, terima kasih penganjur
Itulah keseronokan menghadiri konsert mega penghibur ternama. Bukan semua magis dari tangan mereka meniti di bibir peminat. Buat mereka yang kurang cakna dengan muzik Sheeran, mereka barangkali tidak terlazim dengan apa yang dilaungkan pada malam konsert.
Dalam pada itu, antara mencuri tumpuan adalah pentas yang berpusing 360 darjah di tengah-tengah SNBJ.

Sekali pandang konsepnya seperti cakera padat berpusing atau piring hitam. Kalau Sheeran dua jam setengah berpusing di posisi sama, mahu ‘muntah hijau’ kepeningan mat salih itu dibuatnya.
Seperkara yang penulis belajar daripada konsert Sheeran adalah betapa magisnya ketepatan masa yang dipraktikkan produksi atau pihak penganjur.
Di atas kertas atau mengikut jadual, konsert sepatutnya bermula pukul 9 malam dan itulah berlaku. Perkara tersebut memberi peringatan kepada mereka yang ingin bertandang ke Kuala Lumpur atas nama muzik bahawa masa itu sememangnya emas.
Konsert berlangsung pada jalur masa yang betul tidak akan menyusahkan pihak terlibat terutama penonton yang berpusu-pusu keluar masuk stadium, ‘menyeberangi’ kesesakan lalu lintas atau jadual train.
Itu tidak termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu. Sejam sebelum konsert Sheeran berlangsung, hujan selebat-lebatnya, namun beransur-ansur berhenti membasahi bumi Kuala Lumpur menjelang waktu konsert.
Kuala Lumpur lagi!
Justeru, kudos atau pujian buat penganjur dan mereka yang terlibat bagi memastikan pelan master berjalan seperti apa dirancang sekali gus menolak segala kemungkinan konsert tersasar daripada landasan jadual sebenar.
Biarpun konsert dihadiri 55,000 penonton (jauh daripada rekod dipegang Coldplay – 81,000 penonton), Sheeran berkunjung buat kali kedua di SNBJ dengan ciptaan 1,000 memori tidak terlupakan.

Percikan bunga api ke arah langit semasa beberapa single didendangkan termasuk usai lagu penutup Bad Habits membuktikan dia masih antara penyanyi lelaki Britain yang mempunyai pengikut tersendiri di Asia, khususnya Malaysia.
Bagi penulis secara peribadi, selain lagu-lagi ‘mellow’ yang dimainkan Sheeran, apa yang masih berbekas di fikiran sehingga saat artikel ini dinukilkan adalah persembahannya menyanyi lagu You Need Me, I Don’t Need You.
Nyanyian pantas atau ‘rapping’ yang dicernakan membuka satu lagi lembaran baharu bahawa penghibur itu sungguh luar biasa dampaknya. Tidak hanya hebat dengan permainan emosi dan petikan gitar, dia juga ternyata seorang rapper yang tidak didendang.
Terima kasih Ed Sheeran. Sampai bertemu lagi di lain masa dan kesempatan di Kuala Lumpur, sebuah bandar metropolitan yang sering sahaja dipandang sebagai bukan pilihan utama destinasi konsert penghibur antarabangsa ternama dunia.














