fbpx

Langkah berani USIM ceburi ternakan kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat sebanyak 60 ekor kambing sedang diternak oleh pihak PKUU, USIM.

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) membuka era baharu dalam industri penternakan kambing melalui kursus penternakan kambing, ‘USIM Breeder’ di bawah penyeliaan Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU).

Kandang yang menempatkan lebih 60 ekor kambing itu dibina dengan keluasan 1 hektar berdekatan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah PKUU, Prof. Madya Ts. Dr. Sundresan Perumal berkata, projek itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Veterinar serta syarikat alumni USIM iaitu Ghonami Global Enterprise.

Katanya, pelaksanaan projek rintis berkenaan telah dimulakan pada Ogos tahun lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Julai depan.

“Antara matlamat projek ini adalah untuk memperkasakan kemahiran bidang penternakan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka menjana pendapatan sendiri.

“Ia juga bertujuan menyokong industri penternakan kambing dengan menyediakan pusat latihan dan kemahiran ternakan menggunakan teknologi ‘RFID Tagging’ dan ‘Precision Breeding’.

“Selain itu, projek ini mengetengahkan kepakaran dalaman USIM bagi pelaksanaan Modul Pengurusan Daging Halal,” katanya.

kANDANG kambing dibina di atas tanah berkeluasan 1 hektar berdekatan FST, USIM, Nilai, Negeri Sembilan.

Tambah Sundresan, apa yang menarik, USIM mempraktikkan konsep zero waste farming dalam projek ternakan berkenaan.

“Dalam kata mudahnya, air sisa buangan kambing akan diguna semula untuk siraman rumput yang ditanam khas sebagai makanan kepada haiwan ternakan ini.

“Seramai 80 pelajar yang mengikuti kursus ini akan menjalani latihan berdasarkan enam modul disediakan.

“Antaranya, Modul Pengenalan dan Aspek Ekonomi Ternakan Kambing; Modul Pengurusan Pemakanan Kambing dan Peralatan; Modul Pemilihan Kambing dan Pengurusan Kesihatan; Modul Pembiakan Kambing dan

Pengurusan Gerompok; Modul Pemasaran Kambing dan Kawalan Perniagaan serta Modul Pengurusan Daging Kambing Halal,” ujarnya.

SEBAHAGIAN pelajar USIM mengikuti salah satu modul dalam kursus penternakan kambing, ‘USIM Breeder’.

Ditanya mengenai baka kambing yang digunakan dalam projek tersebut, Sundresan memberitahu, ia merupakan kacukan baka Dorper, Santa Ines dan Barbados Blackbelly.

“Dorper merupakan salah satu baka biri-biri berasal dari benua Afrika (spesifiknya Afrika Selatan).

“Ia merupakan kacukan baka Dorset Horn dan Blackhead Persian Sheep, manakala baka bebiri Santa Ines ini berasal dari Brazil.

“Selain itu, terdapat kambing jenis baka Jammunapari dan kacukan ‘boer’ yang diternak di kandang kambing ini,” katanya.

Sundresan menambah, industri penternakan kambing semakin kurang digemari dan tidak menjadi pilihan generasi muda ketika ini.

“Dengan adanya penglibatan golongan pelajar dalam kursus penternakan kambing ini, ia diharap dapat mencetuskan semangat dan minat mereka dalam bidang ternakan.

“Ini sekali gus mendorong kepada potensi kemajuan kerjaya golongan belia dan meningkatkan kesedaran tentang peluang serta potensi dalam bidang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI