fbpx

Empat majikan didenda RM46,500 lewat, gagal bayar gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Empat majikan dikenakan denda oleh mahkamah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM46,500 kerana melanggar undang-undang perburuhan negara.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan berkata, satu daripada majikan terbabit didenda sebanyak RM12,000 kerana didapati lewat membayar gaji pekerja.

“Pada 8 Februari lalu, pegawai pendakwa dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Subang Jaya mendakwa sebuah syarikat dalam sektor perhotelan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Syarikat terbabit didakwa atas pelanggaran Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 iaitu kesalahan lewat membayar gaji kepada pekerja dan didenda RM12,000,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut JTKSM, JTK Subang turut mendakwa sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan keselamatan kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Kata JTKSM, syarikat itu didapati gagal mematuhi bayaran gaji minimum RM1,500 dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM12,000 ke atas syarikat berkenaan.

Tambah JTKSM, pada Isnin lalu pula, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500 bagi kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

“Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan pengkuarian pula didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pelanggaran Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Khamis lalu,” kata kenyataan itu.

JTKSM berkata, pihaknya akan mempergiatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI