fbpx

LBS rekod untung bersih tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.

PETALING JAYA – Pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan keputusan kewangan belum diaudit untuk suku keempat (Q4) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023) dengan hasil sebanyak RM596.7 juta.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 58.9 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya, yang merekodkan RM375.6 juta.

Peningkatan ketara itu sebahagian besarnya berikutan peningkatan sebanyak 60.2 peratus di segmen pembangunan hartanah, yang menyumbang RM571.2 juta kepada jumlah keseluruhan hasil.

Keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan juga mencatat peningkatan memberangsangkan untuk mencecah RM41.1 juta, iaitu pertumbuhan sebanyak 31.2 peratus.

Bagi FY2023, LBS mencatatkan PAT sebanyak RM159 juta, peningkatan sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun, disokong oleh peningkatan hasil sebanyak enam peratus, mencecah RM1.83 bilion.

Lonjakan ini dipengaruhi daripada peningkatan aktiviti pembinaan projek pembangunan yang sedang rancak berjalan.

Segmen pembangunan hartanah merupakan penyumbang utama hasil Kumpulan, iaitu sebanyak 95.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, terutamanya melibatkan projek pembangunan utama seperti KITA @ Cybersouth, projek di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, projek Idaman dan Prestige Residence.

Pembangunan perbandaran KITA @ Cybersouth antara penyumbang utama hasil Kumpulan tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan bahawa LBS telah memperolehi keputusan kewangan yang amat cemerlang bagi tahun 2023, dengan hasil sebanyak RM1.83 bilion yang menandakan pencapaian tertinggi Kumpulan setakat ini.

Jelasnya, keputusan kewangan positif itu menunjukkan asas kukuh yang telah dibina oleh LBS untuk fasa seterusnya.

“LBS teruja dan akan terus mengambil pendekatan optimis dan berhati-hati untuk berhadapan dengan momentum pertumbuhan pada tahun mendatang.

“Jualan belum dibil sebanyak RM2 bilion akan menyediakan Kumpulan dengan prospek kewangan yang stabil bagi dua hingga tiga tahun akan datang.

“Kini, LBS terlibat dengan 19 projek yang sedang berjalan. Kami berhasrat untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion tahun ini daripada pelbagai projek pembangunan dengan nilai Pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.51 bilion di lokasi-lokasi strategik seperti Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 31 Disember 2023, simpanan bank tanah Kumpulan meliputi kawasan seluas 2,767 ekar (1,119 hektar), memastikan LBS kekal bersaing bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Hock San menambah, pada masa sama, pihaknya turut tekad untuk memastikan pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG) yang baik.

“Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian LBS, yang diberikan Penilaian Bon Impak ‘Emas’ oleh MARC Ratings Berhad merupakan bukti komitmen ESG kami.

“Menerusi program Misi Hijau yang menyasarkan biodiversiti, tenaga, air dan pengurusan sisa dengan jalinan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change untuk projek hijau, kami bermatlamat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI