fbpx

Konsortium Citaglobal raih konsesi ECRL 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Norza

PETALING JAYA – Konsortium yang diketuai oleh Citaglobal Bhd., Citaglobal Reneuco Energy Solution Sdn. Bhd. (CREES) menerima surat anugerah bersyarat (CLOA) daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) untuk menjadi pemegang konsesi eksklusif 30 tahun dalam membekalkan tenaga elektrik dan tenaga boleh diperbaharui untuk rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Rangkaian laluan tersebut menjangkau lebih 665 kilometer iaitu dari Kota Bahru, Kelantan ke Pelabuhan Klang.

Konsesi berkenaan, yang membabitkan penyediaan tenaga elektrik kepada kedua-dua system tarikan dan bukan tarikan bagi rangkaian ECRL itu termasuk kerja pembangunan dan pembinaan kemudahan penghantaran serta sambungan bernilai RM600 juta.

Kemudahan itu dijangka siap dan ditauliahkan secara berperingkat dari awal hingga pertengahan 2026.

CREES ialah konsortium yang dianggotai dua syarikat, terdiri daripada Citaglobal dengan 60 peratus pegangan saham dan Reneuco Bhd. memegang baki 40 peratus.

Dalam tempoh 30 tahun, konsortium itu dijangka turut membangun dan menyediakan tenaga hijau sehingga 100 megawatt, yang bertujuan untuk mencapai gabungan 30 peratus tenaga hijau untuk rangkaian ECRL.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh MRL.

“Projek ini, yang merupakan pertama seumpamanya untuk rangkaian kereta api, menyediakan rangkaian ECRL dengan penghantaran elektrik dan tenaga hijau yang selamat, mencukupi, boleh dipercayai dan kompetitif kos di bawah skim Pengagihan Awam.

“Anugerah ini akan membolehkan Citaglobal mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga, khususnya segmen tenaga boleh diperbaharui dan pada masa yang sama, mempelbagaikan lagi asas pendapatannya untuk membina aliran pendapatan berulang.

“Ini sejajar dengan kedudukan tenaga boleh diperbaharui sebagai kawasan pertumbuhan baharu untuk Citaglobal,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI