fbpx

‘Ramai lebih suka sewa skuter elektrik, tuk-tuk dari basikal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DBKL telah menyita lebih 100 basikal dan lebih 30 skuter elektrik serta tuk-tuk selepas didapati melanggar syarat sah lesen di tapak parkir bersebelahan UKM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AMARULLAH/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Peniaga yang menawarkan khidmat sewa basikal di sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini, mendakwa pihaknya terpaksa menyediakan skuter elektrik serta kenderaan beroda (tuk-tuk) sebagai produk tambahan kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berusia 20-an berkata, kenderaan itu sememangnya menjadi pilihan utama berbanding sewa basikal.

Katanya, kenderaan seperti tuk-tuk antara yang popular disewa dalam kalangan pelanggan berkeluarga kerana ia boleh dinaiki tiga hingga empat orang dalam satu masa.

“Kalau jenis ada dua anak, atau yang datang kawan-kawan tiga hingga empat orang mereka lebih suka naik tuk-tuk. Sekali jalan boleh ramai-ramai.

“Ramai juga suka sewa skuter elektrik kerana jimat tenaga untuk bergerak. Untuk sewa basikal lebih disewa dalam kalangan remaja yang nak bersenam sambil-sambil pusing tasik. Tapi antara tiga itu, memang basikal kurang permintaan,” katanya kepada Kosmo!

Pekerja itu ditemui seaktu operasi Tindakan Khas Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) siri ke-2 tahun 2024 di tapak parkir bersebelahan Universiti Kebangsaan Malaysia, Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga berusia 40-an berkata, skuter elektrik serta tuk-tuk sememangnya memberi keuntungan lebih tinggi berbanding khidmat sewa basikal.

Jelasnya, dia mampu meraih keuntungan sekitar RM10 hingga RM15 untuk satu skuter elektrik apabila harga sewaan adalah pada kadar RM24 bagi tempoh 40 minit.

“Kalau basikal satu basikal hanya untung dalam RM2 hingga RM4 sahaja. Lepas tolak kos penyelenggaraan. Sewa tapak pun lebih RM400 termasuk lesen untuk tiga bulan. Bukan hari-hari orang ramai, jadi kalau harap basikal sahaja memang tak cukup,” katanya.

Dalam operasi bermula jam 9.30 pagi itu, DBKL telah menyita lebih 100 basikal dan lebih 30 skuter elektrik serta tuk-tuk daripada aktiviti khidmat sewa tanpa lesen serta peniaga yang melanggar syarat lesen mengikut Undang Undang kecil 24 (1) UUK Perlesenan dan Penjaja WPKL 2016. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI