fbpx
Kanak-kanak teruja bermain jerami gulung di Kampung Benua. – SHAHIR NOORDIN

Jerami gulung Kampung Benua diserbu musim cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Replika jerami gulung di Kampung Benua, Simpang Empat, dekat sini, hasil ilham penduduk setempat itu menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi orang ramai termasuk dari luar negeri lebih-lebih lagi pada cuti sekolah ketika ini.

Lebih menarik di kawasan sama, penduduk setempat mengambil kesempatan untuk bermain wau sempena musim kemarau yang melanda Kedah ketika ini sekali gus menambah keindahan latar jerami gulung.

Pengunjung dari Jengka, Pahang, Zulkarnaen Abdullah, 51, mengakui sangat teruja melihat keindahan jerami gulung berlatarkan pemandangan sawah.

“Kebetulan kami enam beranak datang ke Kedah untuk mengambil anak yang belajar di Pondok Darsa dekat Kuala Nerang dan terdengar cerita tentang jerami gulung ini.

“Rugi pula jika tidak singgah di sini. Memang teruja dan seronok kerana pemandangan ini adalah sesuatu yang baharu untuk kami.

“Di Pahang, cuma ada kelapa sawit. Di sini ada juga orang bermain wau, jadi ia sangat menarik. Bagi saya aktiviti seperti ini perlu diteruskan dan ditambah baik kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Sementara itu, menurut penduduk, Tan Ngee Keng, 62, dia yang menetap tidak jauh dari kawasan itu tidak melepaskan peluang bersiar-siar di situ.

“Seronok sebab tiba-tiba Kampung Benua ini jadi tumpuan. Saya setiap hari datang bersiar-siar di sini dan tengok orang ramai sangat gembira jadi saya pun tumpang gembira.

“Saya rasa jerami gulung ini boleh dijadikan acara tahunan termasuk pertandingan wau, mungkin kerajaan negeri boleh usahakan sesuatu. Ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan Kampung Benua,” ujarnya.

Menurut penduduk yang terlibat membina replika jerami gulung berkenaan, Radzi Ahmad, 40, orang kampung daripada pelbagai lapisan umur bergotong-royong membina replika jerami gulung itu sejak sebulan lalu.

“Kira-kira 100 penduduk terlibat dan kami keluar wang sendiri kira-kira RM500 untuk beli barang hiasan bagi mengindahkan jerami gulung ini. Kami juga mendapat kerjasama daripada MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) yang menggulung jerami ini.

“Kami gunakan 16 jerami gulung kecil dan enam jerami gulung besar untuk buat replika. Sekurang-kurangnya belia di sini terisi masa lapang,” katanya.

Selain itu, katanya, lokasi tersebut juga menjadi tumpuan seramai 30 penggemar wau yang datang dari seluruh Kedah.

“Kampung Benua ini sangat bersejarah kerana memiliki Terusan Wan Mat Saman dan sekarang jadi bualan orang ramai dari seluruh negara, kami sangat berbangga,” katanya.

Kampung Benua berasal dari perkataan ‘Benua Siam’ yang diberi peneroka dari Thailand selepas pembinaan Terusan Wan Mat Saman lebih 100 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN