TAPAH – Lampu isyarat ada tetapi tidak berfungsi dengan baik.
Itulah masalah yang membelenggu pengguna jalan raya apabila lampu isyarat di simpang empat, Jalan Temoh di sini didakwa kerap tidak berfungsi.
Seorang pengguna, Shazaa Shafaruddin, 37, berkata, lampu isyarat yang terletak berhampiran Taman Awam Tasek Temoh itu sering tidak berfungsi dengan baik dan menyusahkan orang awam.
“Boleh dikatakan dalam sebulan, dua atau tiga hari sahaja yang berfungsi dan selebihnya lebih banyak menyusahkan serta menyulitkan pengguna jalan raya akibat kesesakan setiap hari.
“Kesesakan ini membuatkan masa pengguna terbuang begitu sahaja selain sering terlewat untuk menuju lokasi yang dihajati.
“Malah, saya juga risau tentang keselamatan pengguna jalan raya di situ kerana mereka akan terdedah kepada berlakunya kemalangan.
“Asalnya ingin berseronok tetapi dikhuatiri berlaku perkara yang tidak diingini pula berlaku,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Abdul Aziz Abd. Rahman, 60, pula berkata, dia risaukan akan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.
“Lori-lori industri dan kereta-kereta yang melalui jalan ini semuanya dipandu laju-laju, saya takut sangat bila naik motor.
“Malah, pernah berlaku beberapa insiden yang menyebabkan penunggang motosikal hampir dilanggar lori atau kenderaan lain terutamanya pada waktu malam.
“Saya harap pihak berkuasa supaya segera mengambil tindakan sewajarnya menangani isu ini segera,” katanya.
















