TAPAH – Seorang lelaki meluahkan rasa terkilan dan kecewa kerana gagal menyelamatkan empat beranak yang menjadi korban dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur di Kampung Poh di sini, biarpun telah berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa.
Wahidin Bahaudin, 58, berkata, dia sedih kerana kesemua mangsa ketika itu berada di hadapan matanya tetapi pada kedudukan di tengah sungai akibat terperangkap dengan kederasan air di kawasan tebing.
Mengimbau semula kejadian itu, Wahidin berkata, dia terdengar teriakan mangsa meminta tolong pada pukul 3.30 petang memandangkan rumahnya terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
“Saya bergegas ke sungai dan sebaik tiba, saya lihat lima individu iaitu empat di tengah dan seorang kanak-kanak terperangkap bersendirian
kira-kira 200 meter dari mereka akibat kepala air dengan arus deras.
“Tanpa berlengah, saya cuba tebang sebatang pokok pisang di tebing sungai tetapi ia tidak tumbang. Saya kemudian pergi ke rumah jiran tetapi mereka tiada kerana sedang menghadiri sebuah majlis di kampung,” katanya.

Semalam Kosmo! Online melaporkan, kejadian pada pukul 4 petang itu mengakibatkan Aszura Bani, 37, anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, Hanna
Mikayla, 7, dan Hanum Marissa, 2, maut ketika mereka sedang berkelah di situ.
Kakak Aszura Aslinda, 38, anak lelakinya, Muhammad Adam Muhkris Rozi, 11, dan pengasuh warga Indonesia terselamat.
Mayat Aszura ditemui 600 meter dari lokasi sejam kemudian, manakala jasad Hafiy Muhayat dijumpai pada pukul 9.30 malam. Mayat Hanna Mikayla dan
Hanum Marissa pula ditemui pada pagi semalam.
Menurut Wahidin, dia kemudian mendapatkan getah paip sebelum dilemparkan kepada mangsa yang berada kira-kira 50 meter dari tebing sebelum dapat menyelamatkan seorang wanita.
Tambahnya, situasi bertambah cemas apabila pembantu rumah yang cuba menyelamatkan diri sambil mendukung dua kanak-kanak turut dihanyutkan arus.
“Wanita itu bernasib baik apabila dapat berpaut pada satu objek di tengah sungai sebelum diselamatkan tetapi dua budak itu hilang,” katanya.
Ujar Wahidin, seorang kanak-kanak lelaki dapat diselamatkan di lokasi berhampiran walaupun berdepan dengan arus deras.
“Memang sedih lihat dua budak itu dibawa arus, namun saya perlu beri tumpuan untuk selamatkan mangsa yang masih hidup (amah) walaupun ketika itu saya sudah kehabisan tenaga,” katanya.
Menurut Wahidin, Aszura dan seorang anaknya sudah hilang terlebih dahulu ketika dia tiba di situ.

“Ketika kejadian, hanya keluarga mereka yang mandi situ. Biasanya lokasi itu ramai pengunjung tetapi semalam (kelmarin) tiada,” katanya.
Tambahnya, kejadian kepala air tidak pernah berlaku di situ tetapi kemungkinan musim hujan menyebabkan air sungai cepat naik dan deras.
Sementara itu, seorang pengunjung, Amri Yacob, 39, berkata, dia sering membawa anak-anaknya mandi-manda di situ, namun tidak pernah berdepan dengan kejadian kepala air seperti kelmarin.














