NILAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah awal apabila mengeluarkan larangan penggunaan energy stick atau produk penyedut hidung dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta ibu bapa dan pihak sekolah supaya mengambil perhatian berkaitan isu tersebut agar anak masing-masing tidak terjebak dengan pengambilan peranti tersebut yang kini dilihat menjadi trend dalam kalangan orang muda.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah pun mengambil tindakan dan KPM menyokong apa sahaja tindakan yang diambil.
“Sebab itu saya nasihatkan murid jangan ambil (energy stick), tumpukan perhatian kepada pendidikan dan jaga kesihatan. Luangkan masa dengan program berfaedah.
“Jangan ambil kerana dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada kesihatan kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Perpaduan Silang Budaya Dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.penyedut
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, pihaknya mengambil kira semua pandangan, saranan dan tindakan yang diambil oleh KKM berhubung trend penggunaan energy stick dalam kalangan remaja dan kanak-kanak ketika ini termasuk sewaktu berada di sekolah.
“KPM akan sentiasa mengingatkan semua dari semasa ke semasa mengenai perkara tersebut. Sebab itu kami memerlukan pandangan ibu bapa dan guru dalam mengawal anak-anak ini supaya dapat ditangani secara bersama,” katanya.
Pada Isnin lalu, Kosmo! melaporkan penggunaan energy stick yang semakin berleluasa ketika ini mendapat perhatian KKM yang akan mengambil tindakan ke atas pihak yang menjual gajet menyerupai vape itu termasuk secara dalam talian.
Penggunaan nasal inhaler itu sedang meningkat naik dalam kalangan pelajar sekolah dan dijual secara berleluasa pada harga serendah RM2.50 setiap satu.
Kehadiran energy stick dengan saiz kecil seperti pemetik api selain mempunyai pelbagai pilihan perisa itu dibimbangi boleh menjerumus golongan muda menjadi penagih vape.
Penggunaan peranti itu juga berpotensi menjerat penggunaannya ke arah penggunaan vape dan dadah pada masa akan datang.
Tinjauan menerusi platform e-dagang turut mendapati peranti penyedut hidung itu dijual kepada orang ramai tanpa had umur dan mempunyai lebih 15 pilihan perisa antaranya tembikai, anggur dan strawberi.
Kesemua perisa itu sememangnya disukai oleh remaja dan kanak-kanak.
Antara tarikan lain adalah tagline yang dilihat jelas ditujukan kepada golongan sasaran iaitu ‘Hisap dahulu, baru ke sekolah’, ‘Hisap-hisap anda lega, hisap-hisap anda bertenaga’ dan ‘Ambil masa untuk rehat, sedut dan cergas ke sekolah’.
Peranti itu juga konon mampu mengubati penyakit pernafasan seperti resdung, asma dan selesema.














