fbpx

Celaya bandar paling berbahaya di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Celaya berada di tempat teratas bagi bandar paling berbahaya di dunia pada 2023. – Kurby

BANDAR RAYA MEXICO – Cela­ya di Mexico dinamakan bandar paling berbahaya di dunia pada 2023 dengan catatan hampir 110 kes pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Bandar di Mexico itu mempunyai lebih 378,000 penduduk.

Berdasarkan senarai diterbitkan laman web pengumpulan data, Statista, enam bandar lain dalam senarai 10 bandar paling berbahaya di dunia terletak di Mexico.

Enam bandar kategori paling berbahaya itu terdiri daripada Tijuana, Ciudad Juarez, Ciudad Obregon, Irapuato, Ensenada dan Uruapan dengan setiap satu menduduki tempat kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam dan kelapan.

Sementara itu bandar di Amerika Syarikat, St Louis, Feira de Santana di Brazil dan ibu negara Afrika Selatan, Cape Town turut tersenarai, masing-masing di tempat ketujuh, sembilan dan 10.

Senarai Statista bagaimanapun tidak meliputi bandar atau lokasi di mana perang dan konflik bersenjata tercetus.

Kebanyakan negara yang berada dalam rangking teratas terletak di Amerika Latin. Rantau itu menyaksikan keganasan kumpulan penjenayah paling kerap berlaku termasuk pengedaran dadah, penyeludupan senjata api dan pertempuran antara kartel dadah.

Pada 2020, Mexico merekodkan lebih 28,000 kes pembunuhan yang dikaitkan dengan jenayah terancang, lapor akhbar Daily Mirror pula

Pada Disember tahun lalu, lima pelajar perubatan Universiti Latin Mexico ditemui mati ditembak di dalam sebuah kereta terbiar di Celaya.

Mayat mereka mempunyai kesan penyeksaan dan luka akibat ditembak.

Insiden serupa berlaku pada 23 Mei 2022 apabila 11 individu dikelar dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai di Hotel Gala, Celaya dan sebuah pub berdekatan.

Saksi-saksi kejadian berkata, 15 lelaki bersenjata memakai ‘hoodie’ yang sinonim dengan pembunuh upahan Kartel Santa Rosa de Lima menyerbu masuk ke premis itu serta menembak mati dua lelaki dan wanita sebelum membunuh tujuh yang lain.

Dalam insiden berlainan di Celaya, seorang anggota separa tentera Pasukan Pengawal Kebangsaan terbunuh pada Jun tahun lalu apabila kartel dadah membaling bom dari sebuah kereta.

Sementara itu, St Louis di negeri Missouri merekodkan angka pembunuhan kedua tertinggi di seluruh dunia, di luar Mexico.

Bandar itu merekodkan kadar kemiskinan tinggi dan jenayah berkaitan dadah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI