MINGGU ini penulis ingin mengupas isu berkaitan nombor kerana sesetengah orang percaya sesuatu angka itu ada yang membawa nasib malang dan baik.
Kononnya jika nombor lapan, ia membawa banyak tuah kepada seseorang dan nombor empat pula akan ditimpa musibah serta bala.
Sebagai contoh, pada awal tahun lalu ramai yang membuat ‘posting’ di media sosial dengan menggunakan tahun 2023A, walhal tahun ini adalah 2024.
Ini kerana, ada yang percaya angka atau nombor 4 akan membawa nasib malang dan sesetengah kepercayaan mengaitkan nombor itu dengan kematian. Selain itu, jika diperhatikan ada sesetengah bangunan yang mempunyai lif akan mengelak daripada menggunakan nombor 4 pada tingkat tersebut.
Kebiasaannya, pemilik bangunan akan menggunakan nombor 3A bagi tingkat keempat, begitu juga bagi tingkat 14 akan menggunakan 13A dan sebagainya.
Betul, bangunan itu milik mereka, tetapi apabila penulis membawa anak ke bangunan-bangunan yang mempunyai angka itu, pasti mereka akan bertanya kenapa nombor 4 tiada.
Apabila dijawab nombor 4 tiada dan digantikan dengan 3A. Mereka kata, di sekolah tiada seorang pun cikgu yang beritahu nombor 4 diganti dengan 3A, malah angka itu tidak wujud dalam susunan nombor.
Meskipun nampak isu ini remeh, tetapi sebenarnya ia membawa kesan mendalam kepada pemikiran anak kita dan generasi akan datang.
Memetik perkongsian pakar motivasi, Ustaz Suhili Nain menerusi satu artikel di media sosial menyebut, dalam Islam tidak ada nombor bertuah dan tidak ada nombor malang.
Jelasnya, meskipun dalam al-Quran dan hadis wujud nombor 7, 9, 12 dan seumpamanya, ia tidak menyatakan bahawa nombor tersebut mempunyai kuasa.
“Ia hanyalah sekadar penerangan mengenai sesuatu. Kepercayaan nombor bertuah dan nombor malang adalah berasal daripada ajaran Numerologi.
“Di mana mereka percaya nombor mempunyai bukan sekadar nilai penomboran, tetapi juga nilai esoterik, mistik dan berkuasa ghaib. Ini menyalahi akidah Islam,” ujarnya.
Malah, kata Suhili, golongan Numerologi ini mempunyai formula tertentu dan kepercayaan khusus berkaitan dengan nombor tarikh lahir, nombor kad pengenalan, nombor duit, nombor rumah, nombor telefon dan segala sesuatu yang bernombor.
“Hukum mempercayai nombor membawa tuah, rezeki, malang dan seumpamanya adalah ajaran yang syirik dan menyalahi akidah Islam.
“Ia serupa dengan kepercayaan masyarakat Cina yang percaya nombor 4 itu nombor malang, nombor 8 bertuah. Ia termasuk syirik tathayyur, kepercayaan sial.
“Nabi Muhammad SAW berkata: Tathayyur itu adalah syirik. Tathayyur itu adalah syirik. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. (H.R Abu Dawud, no. 3910
– Sahih),”ujarnya.
Justeru, nasihat penulis terutamanya kepada orang Islam, elakkanlah percaya pada nombor yang akan memberi tuah dan rezeki. Ini kerana, rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan oleh Allah SWT sejak kita masih berada di dalam kandungan lagi.
















