fbpx

K2

6 jam ‘lawan’ ikan pari di Pelabuhan Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pemancing gembira dapat menawan pari saiz besar.

SEJAK kecil dirinya sudah terdedah dengan aktiviti memancing yang turut menjadi hobi ahli keluarga terutama abang-abangnya.

Hal itu membuatkan lelaki itu turut menjadikan memancing sebagai hobi hinggakan semasa zaman persekolahan tatkala ditanya tentang cita-citanya, jawapan yang diberi adalah nelayan.

Menurut tekong bot, Mohd. Noor Ngajiman, 56, sejak kecil dia sering mengikut abang-abangnya memancing di parit atau terusan berdekatan rumah sebelum mengikut mereka ke laut pada usia 13 tahun.

“Ketika itu sekitar tahun 1981, pertama kali saya ikut abang memancing di laut menaiki bot dan ia pengalaman yang mengujakan dan membuatkan saya lebih meminati memancing.

“Hasil tangkapan kami akan menjadi lauk untuk dimakan bersama keluarga memandangkan di rumah tiada peti ais, semua ikan dimasak oleh ibu pada hari sama,” katanya ketika dihubungi K2.

Selepas menginjak dewasa, bapa kepada tiga cahaya mata itu masih meneruskan minat terhadap memancing sehingga dia meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam dan mengusahakan perkhidmatan tekong bot di sekitar Pelabuhan Klang, Selangor.

Kongsinya lagi, menerusi perkhidmatan itu dia membawa ramai pemancing ke beberapa lokasi seperti Pintu Gedung, Westport, Pulau Ketam dan Pulau Angsa.

“Banyak pengalaman yang ditimba menjadi tekong bot, malah kita dapat berjumpa ramai pemancing yang akhirnya menjadi kenalan dan membantu mempromosikan perkhidmatan saya.

“Namun begitu, semakin lama, ramai juga orang yang menceburkan diri menjadi tekong bot hingga mewujudkan persaingan yang sengit, oleh itu saya membawakan kelainan dengan menawarkan khidmat trip memancing pari,” ujar lelaki asal Meru, Klang itu.

Mohd. Noor memberitahu, dia menawarkan trip tersebut memandangkan dirinya juga minat memburu pari ketika memancing.

Katanya, memancing ikan pari memberikan keterujaan yang berbeza terutama semasa bertarung untuk menaikkannya ke atas bot selepas memakan umpan.

Menjadi tekong bot memberikan Mohd. Noor kepuasan tersendiri.

Selain itu, ikan pari bukan sekadar boleh dijadikan lauk buat keluarga tetapi ia juga boleh dijual kerana terdapat permintaan daripada peniaga di pasar dan pada masa sama dapat dijadikan pendapatan sampingan.

Berkongsi tip memancing pari, graduan dari Universiti Teknologi Malaysia itu memberitahu, persediaan peralatan perlulah sesuai seperti rod, reel, tali pancing, mata kail dan perambut yang kuat serta agak baik.

“Panjang tali pancing sebolehnya melebihi 200 meter, berikutan terdapat banyak jenis pari di laut dan ada yang boleh ‘pecut’ hingga menghabiskan tali.

“Di Pelabuhan Klang, pari yang biasa dipancing ialah pari beting, kulim, daun, rimau, pasir, pandan dan tetuka,” jelasnya.

Katanya lagi, pencapaian peribadi yang pernah dicapai dalam menawan pari ialah seberat 70 kilogram yang mengambil masa enam jam untuk dinaikkan kerana kekuatan ikan melawan.

Tambahnya lagi, dalam memancing pari juga perkara yang paling penting adalah mengetahui di mana lubuk dan laluan ikan pari mencari makan.

Biasanya lokasi panas ikan pari adalah di sekitar kawasan berlumpur, kapal karam, beting cetek dan yang ada banyak anak ikan.

“Biasanya kawasan-kawasan ini sudah ditanda dalam Sistem Kedudukan Global (GPS) kerana ada sejarah ikan pari memakan umpan di lokasi tersebut.

“Bagi umpan pula, ikan pari gemar dengan kurita, udang hidup, anak ikan gelama, bulus, belacak dan tembakul,” jelasnya yang turut mengumpulkan sengat pari sebagai koleksi persendirian.

Ujarnya lagi, bagi lokasi popular ikan pari di Pelabuhan Klang pula adalah sekitar Pulau Angsa, Janakuasa Letrik SSAAS, Westport dan Northport.

Selain mempunyai kelengkapan yang bersesuaian, katanya, sifat sabar juga penting dalam memancing ikan pari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI