TAPAH – Polis menafikan dakwaan bahawa kemalangan yang berlaku di Kilometer 335, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Bidor semalam, membabitkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri sebaliknya berkata, insiden tersebut hanya melibatkan seorang PATI berusia lingkungan 30-an yang maut di lokasi kejadian.
“Pihak polis mengesan dakwaan tular di media sosial yang menyatakan terdapat seramai 13 etnik Rohingya meninggal dunia dengan merujuk kepada kes kemalangan di Kilometer 335.
“Berita yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar dan polis menafikan dakwaan berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas meninjau Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut berkaitan penyebaran maklumat palsu itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar menghentikan penyebaran perkara tidak benar atau palsu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini. Sekiranya mempunyai maklumat, mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Noor Irwan Abd. Ghani di talian 017-3168097,” ujar beliau.
Terdahulu, tular dalam kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp yang mendakwa seramai 13 tahanan Rohingya maut dilanggar manakala baki 118 orang lagi melarikan diri ke dalam kawasan semak dan hutan. – KOSMO! ONLINE














