fbpx

Bangunkan bakat tempatan, kurangkan naturalisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM pemain naturalisasi yang dijayakan FAM memberi kesan positif setakat ini apabila Harimau Malaya berjaya melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.

‘Jika kita inginkan lebih ramai pemain seperti Faisal Halim, pembangunan bakat tempatan perlu diperhebatkan lagi’.

Demikian pandangan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Suhardi Alias ketika diminta mengulas berkenaan keberkesanan penggunaan bakat tempatan berbanding pengambilan pemain naturalisasi.

Suhardi yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, adalah penting bagi Malaysia membangunkan bakat tempatan sendiri berbanding bergantung harap kepada penggunaan atlet ‘import’ atau naturalisasi yang hanya memberikan keputusan jangka pendek

Tegas Suhardi, penggunaan atlet naturalisasi secara meluas untuk mewakili negara atau import asing dalam liga domestik bakal ‘merencatkan’ pembangunan bakat tempatan.

“Kita tiada ‘kuasa’ untuk (meluluskan) program naturalisasi, cuma kita tidak membantah pengambilan atlet naturalisasi. Untuk jangka masa panjang kita perlu melihat kepada negara-negara yang lain. 

“Contohnya dulu seperti Singapura mengambil atlet naturalisasi dari negara-negara lain dan telah mewujudkan satu keresahan dalam kalangan rakyat.

“Jerman pernah membuat sedemikian mengambil atlet-atlet naturalisasi atau import untuk bermain dalam liga bola sepak mereka dan mengakibatkan mereka kekurangan penyerang. 

“Penyerang selalunya ramai ada di Jerman, tetapi tugas tersebut diambil oleh naturalisasi dan kemudian akan pulang ke negara asal mereka.

“Jadi, wajar sekiranya kita bangunan atlet kita sendiri. Saya tidak menghalang pengambilan atlet naturalisasi ini, tetapi untuk lebih ‘sustainable’ bila anda bangunkan atlet-atlet muda kita akan dapat atlet seperti Faisal Halim yang orang tak sangka dan fikir dia akan menjaringkan gol.

“Atlet seperti ini perlu dicungkil oleh negara kalau kita nak lebih ‘sustainable’ dan kesannya lebih berpanjangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Triatlon Piala Asia (ATC) di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Suhardi turut menjelaskan pihak berwajib yang ingin menggunakan khidmat pemain naturalisasi perlu mempunyai perancangan jangka panjang.

“Kalau kita lihat dari impak jangka pendek memang ia mempunyai kesan positif, tetapi kalau kita mahu melihat perkembangan sukan kita secara holistik dan menyeluruh komprehensif kita mesti ada perancangan jangka panjang bangunkan atlet kita terutamanya atlet-atlet tempatan kita.

“Ini sepatutnya dilakukan agar atlet dapat dicungkil bakatnya. Dari segi jangka panjang pengambilan pemain naturalisasi ini tidak begitu berkesan kerana selepas tempoh sesuatu waktu mereka akan sampai ‘off-peak’ dan tidak lagi boleh mewakili negara.

“Jika atlet muda kita, mereka mempunyai peluang mewakili negara di kejohanan berprestij dalam kompetitif dunia dan seterusnya kita boleh atur mengikut kehendak kita,” tambahnya.

Dalam beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah menggunakan atlet naturalisasi untuk mewakili negara antaranya ialah sukan olahraga, terjun, ragbi dan bola sepak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI