fbpx

Texas enggan tunduk kepada Biden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA tentera Pengawal Kebangsaan Texas berkawal di tebing Sungai Rio Grande pada 26 Januari lalu. – AFP

EAGLE PASS, Texas – Peguam negeri Texas secara tegas menolak permintaan pentadbiran Presiden Joe Biden untuk mengembalikan kawalan sempadan yang diambil alih oleh pasukan separa tentera, Pengawal Kebangsaan kepada kakitangan imigresen.

Saluran berita CBS News melaporkan, Pengawal Kebangsaan Texas masih menempatkan askar dan menutup sempadan yang dipertikaikan dengan pagar kawat berduri.

Selama tiga minggu, kerajaan persekutuan Amerika Syarikat(AS) dan negeri Texas bertelagah mengenai Shelby Park. Ia merupakan sebuah taman awam di bandar sempadan, Eagle Pass yang menjadi kawasan sibuk lintasan haram oleh pendatang tanpa izin.

Pasukan Pengawal Kebangsaan yang dikerah oleh Gabenor Texas, Greg Abbott telah mengawal Shelby Park sejak awal bulan ini.

Mereka menghalang anggota-anggota Pasukan Peronda Sempadan persekutuan daripada memproses pendatang tanpa izin di Shelby Park ,

Taman itu pernah beroperasi sebagai lokasi sementara untuk memproses imigran oleh Pasukan Peronda Sempadan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang mengawasi Peronda Sempadan memberi masa sehingga Jumaat lepas kepada Peguam Negeri Texas, Ken Paxton untuk mengatakan bahawa negeri itu akan mengalah dan membenarkan ejen-ejen persekutuan memasuki Shelby Park.

Namun, pada Jumaat lepas, Paxton menolak permintaan itu dan berkata, Texas tidak akan membenarkan DHS mengubah Shelby Park menjadi ‘pelabuhan masuk tidak rasmi pendatang tanpa izin kerana ia menyalahi undang-undang.’

“(Justeru) permintaan anda ditolak,” tulis Paxton dalam suratnya.

Pada masa sama, Paxton berjanji akan meneruskan ‘usaha Texas melindungi sempadan selatannya daripada cubaan Pentadbiran Biden untuk menjejaskan hak perlembagaan negeri dan mempertahankan diri.’

Di Shelby Park, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan mendirikan halangan untuk menyekat laluan imigran yang berharap untuk menyeberang masuk ke AS secara haram.

Mereka mengarahkan pendatang tanpa izin untuk kembali menyeberangi Sungai Rio Grande dan pulang ke Mexico.

Jabatan Keselamatan Awam Texas juga mula menangkap imigran dewasa yang memasuki Shelby Park atas jenayah menceroboh.

Abbott berkata, tindakan Texas adalah untuk menghalang pendatang tanpa izin daripada memasuki negeri itu secara haram. Beliau menyalahkan kerajaan persekutuan kerana ‘kurang bertindak’.

Bagaimanapun, pentadbiran Biden memberitahu, Texas menghalang ejen Peronda Sempadan daripada membuat rondaan di Rio Grande, memproses pendatang asing dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Tegas Washington, kuasa imigresen adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Pegawai-pegawai negeri Texas tidak diberi kuasa atau dilatih untuk menyaring imigran, penmenangkap atau menghantar mereka ke negara asing.

Namun, Abbott menandatangani satu rang undang-undang (RUU) pada bulan lalu untuk membenarkan Pengawal Kebangsaan Texas menangkap imigran atas tuduhan memasuki negeri di AS secara haram dan memaksa mereka kembali ke Mexico.

Jabatan Kehakiman berusaha menyekat RUU itu sebelum ia berkuat kuasa pada Mac ini.

Mahkamah Agung AS awal minggu ini membenarkan Peronda Sempadan memotong pagar berduri yang didirikan di tebing Sungai Rio Grande.

Bagaimanapun, pagar berduri itu kekal di Shelby Park kerana pegawai persekutuan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

Walaupun White House menganggap dasar Austin tidak berperikemanusiaan dan tidak produktif, Abbott berkata, beliau mempertahankan negerinya daripada ‘pencerobohan’, manakala tindakannya mengenai isu Eagle Pass mendapat sokongan daripada gabenor-gabenor Republikan lain di seluruh AS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI