fbpx

700 pembeli kondominium kecewa dapat rumah ‘pangsapuri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROJEK kondominium di Bukit Serindit, Melaka yang dijanjikan kepada pembeli sebelum ini telah dibina dengan struktur pangsapuri mampu milik. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Hampir 700 pembeli kediaman di sebuah kondominium di Bukit Serindit di sini kecewa selepas rumah impian dibeli hanya ‘indah khabar dari rupa’, apabila struktur kediaman yang telah siap dibina berbeza daripada perjanjian asal jual beli.

Setakat ini, dua blok iaitu A dan B berjaya disiapkan pemaju membabitkan 704 unit kediaman dan serahan kunci kepada pembeli telah dilakukan pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun, para pembeli mendapati terdapat pelbagai kerosakan dan kecacatan pada unit seperti saluran tersumbat, kebocoran, kerosakan cat dan pemasangan jubin yang tidak mengikut standard.

Seorang pembeli, Muhammad Ridzwan Abd. Satar, 33, mendakwa, pemaju tidak membina kediaman seperti terkandung dalam perjanjian jual beli dan sebarang perubahan dilakukan langsung tidak dimaklumkan.

Katanya, sebelum ini pembeli dijanjikan sebuah kediaman jenis kondominium, bagaimanapun setelah projek itu siap kediaman tersebut hanyalah bertaraf pangsapuri mampu milik.

“Saya sangat kecewa kerana kita beli kondominium tapi macam dapat rumah rosak, banyak kecacatan seperti dinding melengkung dan tidak rata, pintu rintangan api tidak mengikut standard dan pintu tandas bukan kalis air.

“Kami juga terpaksa membayar yuran penyelenggaraan berjumlah RM120 sebulan termasuk deposit empat bulan yang dicaj bermula 1 Januari lalu tetapi penyerahan kunci adalah pada pertengahan bulan ini, selain masih banyak kemudahan yang belum siap,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan pembeli bersama pemaju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Norbaizura Burhanuddin, 38, berkata, dia mahu pemaju bertanggungjawab terhadap segala ‘janji manis’ yang diberikan semasa mempromosikan kediaman berkenaan.

Menurutnya, antara yang paling ketara apabila residensi berkenaan ditukar nama tanpa memaklumkan kepada pembeli.

“Harga rumah yang saya beli hampir RM300,000 tetapi masih belum boleh pindah masuk kerana perlu memeriksa keadaan rumah.

“Namun apa yang dikesalkan adalah kemudahan yang disediakan tidak sama seperti yang diuar-uarkan seperti lot parkir dan saiz kolam renang yang kecil dan bilik gimnasiun yang sempit,” katanya. – KOSMO! ONLIE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI