fbpx

Leka curi kabel, empat lelaki direman bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Nasir (tengah) menunjukkan peralatan digunakan tiga suspek dalam kegiatan mencuri kabel TM yang telah dirampas pihak polis. - Foto oleh WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

TAIPING – Tiga lelaki ditangkap ketika sedang leka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Padang Gajah, Trong di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, ketiga-tiga suspek itu dikesan sedang leka membuka lubang utama kabel tersebut dengan tujuan untuk mencuri.

“Ketiga-tiga suspek ini berumur 26 hingga 27 tahun baru sahaja berjinak-jinak melakukan jenayah mencuri kabel.

“Ketika serbuan dibuat mereka sedang leka melakukan aktiviti itu dan turut ditemukan besi T yang digunakan untuk membuka lubang, kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nasir, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kabel TM bawah tanah.

“Mereka akan memotong kabel di dalam tanah dan menariknya dengan menggunakan kenderaan. Dalam serbuan itu pihak polis telah merampas gulungan kabel yang dicuri dengan anggaran nilai RM20,000 dan kenderaan yang digunakan turut dirampas,” katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun yang giat melakukan aktiviti samun stesen minyak dan ragut di sekitar Taiping turut ditahan.

“Suspek melakukan kegiatan ini secara solo dan menyasarkan wanita berusia 40-an hingga 60-an sebagai mangsanya untuk kegiatan meragut. Suspek juga merupakan seorang penagih tegar,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemukan sebilah pisau dan kerambit, dua telefon bimbit, topi keledar dan sebuah motosikal.

“Hasil semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau sebanyak empat kes dan enam rekod penyalahgunaan dadah.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes membabitkan tiga kes samun stesen minyak dan empat kes ragut yang berlaku di sekitar Taiping, Simpang dan Pokok Assam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI