KECANTIKAN seperti yang diungkapkan oleh gadis Pesona Ahad minggu ini, Sofea Aneesa Aidi, 23, ialah hanya sementara.
Pada pandangannya, nilai kecantikan sejati lebih berkekalan.
Kepada Kosmo! Ahad, anak kedua daripada tiga beradik ini berkongsi mengenai minatnya dalam bidang pengiklanan.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai diri Sofea
Sofea: Saya peminat fesyen dan solekan kerana gemar kelihatan kemas. Saya gemar lakukan ‘cafe hopping’ bersama kawan-kawan dan sering ke pantai kerana ia memberi ketenangan selain melakukan terapi diri dengan membeli-belah.
Siapa inspirasi fesyen Sofea?
Sofia Richie dan Kendall Jenner kerana saya tertarik dengan gaya yang minimalis. Saya yakin rahsia kecantikan terletak pada usaha mencari fesyen dengan gaya solekan yang sesuai dengan ciri wajah kita sendiri.
Sambung pengajian atau bekerja?
Melanjutkan pengajian lebih penting sebelum bekerja kerana ilmu memberikan manfaat dalam membentuk disiplin dan prinsip diri untuk menjadi individu yang lebih matang.
Ciri-ciri lelaki idaman Sofea? Kahwin muda atau kejar kerjaya?
Lelaki itu mestilah individu yang menghormati orang lain dan jujur.
Saya berhasrat untuk melancong bersama rakan-rakan ke luar negara, mencapai kestabilan kewangan dan mencari pekerjaan yang memuaskan untuk diri sendiri sebelum berkahwin.
Adakah influencer perlu cantik?
Kreativiti membuat kandungan lebih penting daripada kecantikan fizikal. Ketika ini, content berkualiti seperti video memasak, motivasi, ulasan produk dan sebagainya lebih disukai daripada sekadar melihat kecantikan influencer.
Negara yang Sofea pernah lawati?
Jepun, Turkiye, Korea Selatan, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan England. Di antara semua itu, negara yang paling unik dan cantik bagi saya adalah Jepun.
Mengapa pilih bidang pengiklanan?
Saya lebih suka terlibat dalam kerja yang melibatkan kreativiti dan saya mempunyai pengalaman mengenainya.
Apa buku, filem dan muzik kegemaran Sofea?
Reminders of Him oleh Colleen Hoover kerana saya sangat menyukai genre romantik. Saya juga amat menikmati filem How to Lose a Guy in 10 Days kerana kelakar dan romantik. Saya gemar muzik Pop.
Bagaimana cara Sofea menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi?
Sebagai pelajar dan pengulas produk berbayar, saya akan menyusun jadual dengan teratur dan memberi keutamaan kepada tugas-tugas penting.
Definisi bahagia?
Melihat ibu bapa dan orang-orang tersayang saya hidup senang dan mendapat rezeki yang mencukupi. Impian saya adalah menjadi seorang yang berjaya dan dapat membuat ibu bapa bangga dengan saya.
Pendapat Sofea tentang isu kawan baik rampas teman lelaki?
Ia tidak sepatutnya berlaku kerana ia menandakan kurangnya penghormatan dan nilai persahabatan.
Pengalaman yang mengajar diri Sofea?
Saya pernah ditipu orang yang saya percaya. Pengalaman ini membentuk diri saya, memberi kekuatan dan pengajaran supaya jangan mudah percaya orang.
Pernah berdepan dengan cabaran mencari kerja?
Saya pernah mengalami kesukaran untuk mencari pekerjaan yang setimpal dengan bayaran dan minat. Jangan putus asa dan yakin pada rezeki.
Buli siber, ada pengalaman dan bagaimana mencegahnya?
Saya tidak pernah mengalami buli siber tetapi pernah terima komen negatif. Saya padam mesej itu dan blok akaun mereka supaya hidup saya aman.
















