MEMBUKA dispensari atau kedai menjual ganja bukanlah dalam senarai cita-cita Wassaya Lemvijan.
Namun begitu, dia yang merupakan bekas peguam di Bangkok, Thailand, mula beralih arah kepada bisnes dispensari ganja itu sebagai satu bentuk ‘penjagaan alternatif’ untuk mengatasi tekanan emosinya.
“Saya bergelut dengan kemurungan selama bertahun-tahun. Sebagai peguam, saya berdepan stres. Ganja boleh dikatakan tumbuhan yang telah membantu saya.
“Jadi, apabila ia tidak diharamkan, maka saya memutuskan untuk membuka sebuah kedai ganja,” katanya kepada CNN.
Pada 9 Jun 2022, dua hari selepas Thailand menjadi negara pertama di Asia yang mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik dan membenarkan penggunaannya termasuk kegunaan rekreasi, Wassaya dan suaminya, Nitikrist Attakrist yang juga seorang peguam, mendaftar untuk mendapatkan lesen menanam dan menjual tanaman tersebut.
Setelah Thailand membenarkan penggunaan ganja, kedai menjual ganja tumbuh bagai cendawan di bandar-bandar di negara Gajah Putih itu.
Bukan sekadar dispensari bahkan ia boleh juga didapati di kafe, restoran, butik, spa serta festival besar.
Malah, akses terhadap ganja menjadi begitu mudah di negara itu.
Bagaimanapun, semua itu mungkin tidak akan sama lagi setelah Thailand baru-baru ini mencadangkan larangan penggunaan ganja secara rekreasi dan hukuman berat ke atas pesalah di bawah rang undang-undang baharu selepas negara itu menyahkriminalisasikan (decriminalize) larangan sejak 18 bulan lalu.
Sebelum ini, kelonggaran undang-undang menyaksikan industri ganja sesuatu yang menguntungkan sehingga berbilion dolar untuk penduduk tempatan dan pelancong asing.
Tetapi kerajaan gabungan konservatif baharu yang berkuasa sejak akhir tahun lalu telah berikrar untuk mengetatkan peraturan dan hanya membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
Draf rang undang-undang dikeluarkan pada Selasa minggu lalu oleh Kementerian Kesihatan Thailand menggariskan denda yang tinggi atau hukuman penjara sehingga satu tahun untuk pesalah atau kedua-duanya yang menggunakan ganja bukan tujuan perubatan.
Ganja dan produk berkaitan ganja akan dihadkan kepada tujuan perubatan dan kesihatan sahaja.
Rang undang-undang itu mengulangi janji Perdana Menteri Thailand baharu, Srettha Thavisin pada September lalu bahawa kerajaan baharunya akan ‘membetulkan’ undang-undang mengenai ganja dalam tempoh enam bulan akan datang.
Namun, pengharaman semula yang bakal berlaku mencetuskan rasa tidak puas hati pengusaha bisnes berkaitan ganja di Thailand yang sudah ‘berkembang biak’ di negara itu apabila ramai orang telah meninggalkan pekerjaan asal untuk menceburi bisnes berasaskan ganja.
Pesawah di kampung-kampung juga dikatakan banyak beralih menanam ganja.
“Apa jua bentuk polisi pusingan U adalah keputusan yang paling teruk.
“Kami akan menentang keras undang-undang yang menjejaskan industri ini,” kata Attakrist.
Menyorot sejarah, ganja untuk perubatan telah sah di Thailand sejak 2018, tetapi penyahkriminalisasian pada 2022 telah mengambil langkah lebih jauh, menjadikannya bukan lagi jenayah untuk menanam dan memperdagangkan produk ganja.

Malah, pengusaha kafe dan restoran juga dibenarkan untuk mencampurkan ganja dalam hidangan makanan dan minuman yang mereka jual. Tetapi ia harus mengandungi kurang daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif utama tumbuhan itu.
Namun, realitinya berbeza. Masalah ganja dipercayai menjadi tidak terkawal dan berleluasa di negara itu. Banyak produk dijual di pasaran melebihi had THC yang boleh menyebabkan ‘khayal’.
Sebelum ini, Nikkei Asia melaporkan, kes ketagihan ganja dilaporkan meningkat sehingga empat kali ganda, selain hospital dikatakan berdepan tekanan apabila bilangan pesakit-pesakit kesan pengambilan ganja berlebihan melonjak.
Garis panduan ditetapkan misalnya tidak boleh menjual ganja kepada pelanggan berusia bawah 20 tahun, namun terdapat foto kanak-kanak berusia 9 atau 10 tahun yang mengambil ganja di ruang maya cetus kebimbangan.
Pihak berkuasa sendiri dikatakan sukar untuk bertindak kerana garis panduan yang dikatakan kabur.
Srettha telah lantang melarang ganja rekreasi dan menyatakan dalam beberapa wawancara media bahawa penyalahgunaan dadah adalah ‘masalah besar bagi Thailand’.
“Masalah dadah semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini terutama di bahagian timur laut dan utara Thailand.
“Undang-undang perlu ditulis semula. Ia perlu diperbetulkan. Kita mengehadkannya untuk kegunaan perubatan sahaja, tidak ada lagi untuk kegunaan rekreasi,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul yang melobi kuat nyahkriminalisasi ganja sebelum ini menjelaskan, niatnya tidak sama sekali membenarkan rakyat Thailand dan pelancong menghisap ganja di khalayak ramai.
“Tidak pernah ada saat yang kami akan fikir tentang menganjurkan orang ramai menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi atau gunakannya dengan cara boleh merengsakan orang lain,” katanya.
Menteri Kesihatan Thailand, Cholnan Srikaew semasa mengeluarkan draf undang-undang baharu berkenaan menyatakan pihaknya mengeluarkan draf itu adalah bertujuan melarang penggunaan salah ganja.
“Semua penggunaan rekreasi adalah salah,” katanya.
Kerajaan Thailand memberikan masa sehingga 23 Januari ini untuk rakyat memberi maklum balas mengenai draf undang-undang baharu tersebut.
Kitty Chopaka yang merupakan seorang usahawan ganja di Bangkok yang telah memperjuangkan ganja nyahkriminalisasi selama bertahun-tahun menyifatkan tindakan kerajaan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Tetapi tidak kira apa yang berlaku dengan adanya peraturan berkaitan ganja, kini sudah terlambat untuk ganja kembali diklasifikasikan sebagai narkotik,” katanya.
Pengarah Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa bagi rantau Asia, Gloria Lai percaya mengehadkan ganja untuk tujuan perubatan juga tidak akan menyelesaikan masalah.
“Adalah jelas bahawa melarang atau mengharamkan bahan itu tetapi tidak menghapuskannya boleh memberi kesan bertentangan dengan apa yang mereka (kerajaan) harapkan,” katanya.














