fbpx

Bekas penyerang kebangsaan dirawat di ICU disyaki akibat kencing tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roshidi.

ALOR SETAR – Bekas penyerang kebangsaan era 70-an dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini dipercayai akibat jangkitan kencing tikus.

Disebabkan jangkitan itu, Roshidi Shaari, 67, terpaksa diintubasi.

Menurut anaknya, Rosyahemi, 34, bapanya mengadu mengalami demam, cirit-birit dan muntah pada Ahad lalu.

“Isteri saya membawa bapa ke hospital pada sebelah malam untuk mendapakan rawatan. Pemeriksaan doktor kemudiannya mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada badan bapa.

“Setelah mendengar penerangan dan mendapat nasihat doktor, bapa bersetuju untuk diintubasi. Setakat ini kami dimaklumkan, tempoh intubasi itu mungkin seminggu kerana jantungnya didapati lemah,” katanya di sini hari ini.

Jelas pemuda itu, setakat ini bapanya masih bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Roshidi sewaktu di era 70-an.

“Jika keadaan semakin pulih, bapa akan dibangunkan untuk menjalani rawatan lanjut. Setakat ini kita masih menunggu pengesahan sama ada bapa benar-benar diserang kencing tikus,” ujarnya.

Sementara itu, rakan seperjuangan Roshidi yang juga bekas ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor memohon peminat bola sepak tanah air supaya mendoakan kesembuhan Roshidi.

“Mohon sahabat-sahabat dan penyokong doakan Roshidi yang merupakan sahabat seperjuangan saya pada era 70-an bersama pasukan Kedah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Roshidi yang pernah memegang tampuk kejurulatihan skuad Piala Presiden dan Piala Belia Kedah merupakan pemain termuda yang pernah mewakili Malaysia pada Pesta Bola Merdeka 1975 ketika berusia 17 tahun.

Selain mengecapi zaman kegemilangan sebagai tonggak utama Kedah, Roshidi juga pernah menjadi Pembantu Jurulatih Kedah di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Jourgen Larsen bermula pada tahun 2001 hingga 2003. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI