MELIHAT keindahan alam menghijau ketika berada di puncak gunung merupakan kepuasan yang sukar digambarkan.
Hal itu menjadi sebab utama kepada seorang pemuda meminati aktiviti mendaki sejak berada di universiti.
Lelaki yang dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar) hampir setiap minggu melakukan hobinya itu sama ada mendaki bukit sekitar Lembah Klang atau mengambil cuti panjang untuk meneroka gunung.
“Saya sering mengikut kumpulan mendaki, malah pernah ke luar negara untuk memanjat gunung-gunung di sana.
“Namun, ada satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mendaki sebuah gunung di Sumatera Barat, Indonesia,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Kongsinya lagi, ketika itu, dia mengikut kumpulan pendaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook ke Gunung Kerinci.
Awalnya, pemuda berusia awal 30-an itu amat teruja ke gunung tersebut, meskipun awalnya dia tidak pernah tahu tentang lokasi berkenaan.
Dek kesibukan sebelum hari kejadian (terbang ke Indonesia), dia tidak sempat membuat sebarang kajian seperti sebelumnya.
Zul hanya tahu cerita tentang keindahan pemandangan di puncak gunung yang diceritakan oleh rakan-rakan pendaki.
“Saya sentiasa teruja kalau mahu pergi mendaki, namun untuk perjalanan kali ini entah mengapa ada kalanya hati terasa kurang senang.
“Namun, apabila tiba harinya, saya tidak mengendahkan perasaan itu dan fokus untuk mendaki gunung,” ujar pemuda berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu.
Katanya lagi, selepas tiba di kaki Gunung Kerinci, pendakian bermula lancar sehingga dia sampai ke hentian ketiga.
Ketika itu, dia terasa seperti mahu membuang air kecil, sebelum memberitahu rakan pendaki lain supaya bergerak terlebih dahulu.
Selepas membuang air kecil, dia meneruskan pendakian untuk menyusuli rakan-rakan lain.
“Selepas beberapa minit, saya bertemu kembali dengan rakan pendaki lain dan meneruskan perjalanan bersama mereka.
“Namun, saya merasakan ada sesuatu yang pelik kerana mereka semua tidak ‘semeriah’ seperti awal pendakian dan diam sepanjang perjalanan,” ceritanya.
Tambahnya, dia cuba berborak dengan salah seorang rakan, tetapi tidak diendahkannya.
Oleh itu, dia meneruskan perjalanan tanpa sebarang kata sehingga hari menjelang senja.
Oleh kerana perjalanan ke puncak mengambil masa dua hari satu malam, Zul sudah menjangkakan mereka akan berkhemah di salah satu hentian yang ditetapkan.
Sebaliknya, kumpulan pendaki itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti bermalam dan hanya membisu sambil meneruskan perjalanan.
Disebabkan itu, Zul cuba bertanya kepada salah seorang pendaki yang juga ketua pasukan, namun tetap tidak diendahkan.
Disebabkan tidak sedap hati, dia berhenti di tengah pendakian dan membiarkan pendaki lain meneruskan perjalanan.
“Walaupun saya ketinggalan, namun mereka tidak peduli atau berpatah balik untuk bertanyakan keadaan saya.
“Suasana ketika itu semakin gelap dan saya juga berasa sangat takut kerana bersendirian,” kongsinya.
Zul kemudian meneruskan perjalanan untuk mengejar rakan pendaki lain. Namun, selepas beberapa minit, kelibat pendaki lain tidak kelihatan.
Tidak lama selepas itu, dia melihat ada satu tapak perkhemahan dengan beberapa orang pendaki sedang memasang khemah.
Dia terus pergi ke tapak tersebut dan melihat semua rakan-rakan pendaki sedang sibuk memasang khemah masing-masing.
Melihat keadaan itu, dia terus menyapa semula ketua kumpulan pendaki dan bertanya tentang situasi yang berlaku semasa mendaki.
“Ketua pendaki bingung dengan soalan saya dan memaklumkan bahawa sepanjang perjalanan tadi saya hanya membisu tanpa sepatah kata.
“Saya agak terkejut dengan kata-katanya dan menceritakan semula apa yang terjadi.
“Malah, ketua mengatakan bahawa setibanya di tapak perkhemahan, dia melihat saya pergi ke kawasan hutan,” katanya.
Mengetahui hal itu, Zul berasa seram sejuk dan mula terfikir mengenai kumpulan yang mendaki bersamanya sebelum ini.
Sehingga hari ini, Zul masih terkenangkan kejadian seram itu, namun ia tidak pernah memadamkan minatnya untuk aktif mendaki gunung.
Selepas kejadian itu, dia sentiasa beringat untuk mempersiapkan diri agar tidak diganggu oleh sebarang anasir mistik ketika mendaki gunung atau masuk ke hutan.














