fbpx

Isteri boleh tuntut fasakh jika suami culas nafkah batin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang isteri berhak memohon fasakh sekiranya suami tidak lagi melaksanakan nafkah batin terhadapnya.

Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkata, meski perkara itu jarang berlaku, ada juga dalam kalangan suami yang mempunyai masalah untuk bersetubuh dengan isteri.

Katanya, masalah itu berlaku sama ada disebabkan faktor kesihatan ataupun mungkin ketiadaan nafsu lagi ke atas isteri.

“Salah satu sebab perkahwinan antara lelaki dan perempuan diberikan oleh syarak adalah untuk pasangan itu bersuka-suka atau melahirkan zuriat.

“Maka, nafkah seorang suami keatas isteri itu bukan sahaja melibatkan nafkah zahir sahaja, tetapi hak nafkah batin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Fahmi menjelaskan, nafkah batin juga bukanlah semata-mata persetubuhan sahaja kerana perkara itu termasuk layanan dan kata-kata yang baik oleh suami keatas isteri juga dikira nafkah batin.

“Namun, dalam tafsiran untuk peruntukan Fasakh, nafkah batin hanyalah isu mengenai persetubuhan semata-mata. Ia tidak melibatkan kepada kegagalan suami berkata-kata baik atau melayani isteri dengan teruk.

“Jika ada caci maki sebagainya, ia tertakluk dibawah penderaan mental, bukannya gagal nafkah batin,” katanya.

Selain itu katanya, sekiranya suami gagal beri nafkah batin kepada isteri selama setahun atau lebih, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh.

“Kegagalan itu mestilah disebabkan suami itu sendiri, dan bukannya datang daripada keengganan isteri.

“Berbeza dengan nafkah zahir dimana suami yang gagal atau cuai menyediakan nafkah yang cukup kepada isteri selama tiga bulan sahaja, isteri berhak untuk tuntut Fasakh,” ujarnya.

Katanya, jika isteri mendakwa bahawa dia tidak menerima nafkah batin lebih daripada setahun, isteri mesti berikan keterangan terlebih dahulu yang dirinya tidak mempunyai sebarang permasalahan atau dihalang untuk bersetubuh.

“Atau mungkin ada sesetengah keadaan, suami telah menghilangkan diri dan meninggalkan isteri lebih daripada satu tahun.

“Namun, jika suami ada sebab seperti isteri mempunyai penyakit kelamin, maka dia berhak untuk tidak memberi Nafkah Batin. Misalnya isteri ada HIV, maka, tak wajar untuk berlaku persetubuhan jika memudaratkan kesihatan,” tambahnya.

Katanya, meskipun perkara itu sensitif, setiap orang perlulah belajar mengenainya dan mengambil tahu terutama yang sedang dalam perkahwinan atau mungkin yang bakal berkahwin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI