fbpx

Kemasukan pekerja asing tanpa kerja jejas imej Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

PETALING JAYA – Kemasukan pekerja asing tanpa pekerjaan sah dan mengabaikan mereka, hanya memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu bertindak tegas bagi mengelak negara daripada dilihat sebagai menggalak pemerdagangan manusia.

“Adalah mustahak kerajaan menangani isu berlarutan mengenai pekerja asing yang ditipu untuk datang ke sini untuk bekerja.

“Jika ia berterusan, imej negara kita akan tercalar dan berisiko dilihat sebagai negara yang membenarkan pemerdagangan manusia atau buruh paksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, proses pengambilan pekerja asing perlu diperketatkan dengan membenarkan syarikat mendapatkan kuota untuk memohon tenaga kerja itu.

“Isunya ada kemungkinan beberapa syarikat meminta kuota pekerja asing tanpa benar-benar mempunyai sebarang pembukaan pekerjaan.

“Mereka hanya cuba mencari wang dengan menjual kuota kepada syarikat lain. Ini disifatkan sebagai pemerdagangan manusia atau buruh paksa,” ujarnya

Tambah Johari, pekerja asing yang kehilangan pekerjaan sebaik tiba di Malaysia, telah menjadi beban utama apabila menyerap sumber dari segi subsidi dan penjagaan kesihatan, selain turut menimbulkan masalah sosial.

Johari sebelum ini mencadangkan syarikat yang didapati membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan, dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Cadangan itu dibuat Johari susulan seramai 171 pekerja Bangladesh yang ditahan ketika membuat laporan terhadap ejen mereka yang didakwa gagal memberi pekerjaan di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, Johor.

Mengulas mengenai bantahan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai terhadap cadangan itu, Johari berkata, syarikat yang tidak mengeksploitasi pekerja asing tidak perlu bimbang.

“FMM tidak boleh menuding jari kerana agensi tidak boleh memohon kuota tanpa terlebih dahulu mendapat tuntutan daripada syarikat.

“Sekiranya ada bukti bahawa agensi menggunakan dokumen palsu untuk menambah kuota yang diminta, maka agensi akan dikenakan denda yang tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI