SEBUT sahaja nama Cikgu Zack Kirana, siapa tidak kenal dengan gaya dan caranya yang suka membetulkan ejaan serta tatabahasa dalam media sosial.
Cara wanita itu menyampaikan ilmu kepada masyarakat menjadi titik tolak kepada popularitinya dalam kalangan pengikut.
Dia mempunyai strategi dan cara tersendiri bagi memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus menarik perhatian para pelajar menguasai bahasa kebangsaan itu.
Inisiatif Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim memperbetul tatabahasa mahupun ejaan bahasa Melayu wajar diberikan pujian.
Terkenal dengan gaya lincah, ranggi dan bersahaja, Cikgu Zack Kirana diketahui ramai sebagai guru selebriti yang mesra orangnya.
Berpeluang menemu bual anak kelahiran Terengganu itu setelah beberapa minggu tergendala disebabkan kesibukan jadual kerja, Cikgu Zack Kirana memberitahu, dia mula menceburi bidang pendidikan sejak tahun 2014.
Katanya, semuanya bermula kerana minat mendalam untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Saya memang pencinta bahasa sejak kecil. Saya memilih bidang bahasa Melayu atas dasar minat.
“Sebelum Covid-19 melanda dunia, saya memang sudah mengajar sejak 2014.
“Saya agak terkejut apabila melihat sambutan daripada orang ramai yang sangat menggalakkan.
“Saya mula tular apabila pengguna media sosial berkongsi hantaran saya.
“Dari situ, saya mula pelbagaikan perkongsian, bukan sekadar keperluan peperiksaan, tetapi tentang tatabahasa,” katanya memulakan bicara bersama Aura.
Menurutnya lagi, selepas tular, dia sedar bahawa masih ramai yang dahagakan ilmu bahasa Melayu.
Meneruskan perkongsian, Cikgu Zack Kirana memberitahu, ketika dia membesar, kerjaya sebagai pendidik bukanlah impian dan cita-citanya.
“Saya bercita-cita ingin menjadi pengacara televisyen. Tetapi aturan Allah SWT itu lebih baik.
“Pada tahun 2014, seorang rakan meminta bantuan saya untuk menggantikannya sebagai guru tuisyen disebabkan dia bakal bersalin.
“Kebetulan, saya baru sahaja menamatkan pengajian sarjana di Universiti Malaya.

“Saya menggantikan rakan saya itu selama beberapa bulan. Namun, perlahan-lahan aura guru itu semakin kuat dalam diri dan saya mula jatuh cinta dengan bidang ini,” ujarnya.
Tambahnya, berkongsi ilmu menjadikan dia lebih bahagia dan bersyukur.
Katanya, anak-anak muridnya meraikan ilmu yang diajar ibarat sebuah pesta.
“Dari situ, saya mula serius mengajar dan terima dengan terbuka apabila majikan ingin jadikan saya sebagai tenaga pengajar tetap pada tahun berikutnya.
“Sampai sekarang, saya masih bangga dengan kerjaya ini dan masih tetap bersemangat menjadi seorang pendidik,” katanya.
Bercerita mengenai cabaran yang dihadapi sebagai pendidik dan pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana memberitahu, setiap kerjaya pasti ada cabarannya.
“Sebagai seorang guru, untuk memahami pemikiran pelajar bukanlah senang. Selepas beberapa tahun, barulah saya arif tentang cara dan selera anak murid dalam pelajaran terutamanya golongan remaja.
“Sebagai pempengaruh pula, semuanya kelihatan sangat baik pada tahun pertama.
“Sehinggalah ada perkongsian saya yang menimbulkan perdebatan antara orang bahasa dengan orang sastera.
“Ketika itu, ramai yang menunggang isu tersebut dengan pelbagai cara,” katanya.
Ujarnya lagi, penampilannya yang ranggi, lincah dan berfesyen serta jauh berbeza dengan pendidik lain juga pernah menjadi bahan kecaman.
“Bagi saya, semua orang terbuka untuk mengkritik atau menghakimi seseorang termasuklah saya.
“Mulut orang kita tak mampu kawal, apatah lagi jari-jemari mereka yang menaip.
“Cuma ada perkara yang saya tak dapat lupakan seperti kata-kata kesat dan menyamakan nama saya dengan perkataan kurang sopan selepas saya menegur lirik sebuah lagu popular.
“Tipulah kalau saya tidak terkesan. Saya ambil masa untuk tenangkan diri. Dari situ saya belajar, tak semua orang suka kita.
“Namun, saya bersyukur kerana pada masa sama, saya mempunyai ramai penyokong dalam kalangan pengikut dan pendidik.
“Sehinggalah suatu hari, pakar bahasa sendiri berpihak kepada saya.
“Selepas kejadian itu, saya diam agak lama dalam media sosial.
“Saya sekadar berkongsi kisah harian saya. Insya-Allah, saya akan kembali aktif berkongsi ilmu bahasa pada tahun ini,” ujarnya.
Sebelum menutup bicara, Cikgu Zack Kirana berkongsi sedikit mengenai perancangannya yang bakal menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).
“Saya bercita-cita ingin membuka akademi bahasa Melayu sendiri untuk melahirkan lebih ramai tenaga pengajar yang serba boleh.
“Saya juga akan sentiasa aktif menjadi penceramah bahasa Melayu selagi terdaya dan diperlukan oleh masyarakat,” katanya.














