fbpx
BRYAN (kanan) pada majlis pelancaran menu baharu Bask Bear di sini, hari ini.

Tealive masuk 3 pasaran baharu 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Loob Holding Sdn. Bhd. bakal mengembangkan jenama teh gaya hidup Tealive ke tiga pasaran baharu tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, pihaknya akan mengumumkan pelan pengembangan tersebut pada bulan depan sebelum mengaktifkan pasaran baharunya pada suku tahun pertama atau suku kedua 2024.

“Kami telah menyaksikan pertumbuhan yang agak sihat tahun lalu, terima kasih kepada jenama Tealive yang masih memiliki ekuiti jenama yang kukuh di pasaran.

“Ia antara lain turut disokong wujudnya banyak persaingan sihat dari jenama baharu yang mencipta permintaan dalam segmen ini. Tealive dengan jumlah 870 outlet dilihat berjaya memanfaatkan pertumbuhan permintaan ini.

“Selain itu, Bask Bear (jenama kedai kopi milik syarikat) dengan 115 outlet masih memiliki banyak ruang untuk pertumbuhan dan kami mahu memfokuskan untuk memperkukuhkan kehadirannya di pusat beli belah, yang mana pada awal penubuhannya jenama ini lebih tertumpu di lot-lot kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena pelancaran menu baharu Bask Bear, iaitu rangkaian roti bakar sambal hasil kerjasama dengan Village Park Nasi Lemak di sini, semalam.

Inovasi baharu itu boleh didapati di kesemua cawangan Bask Bear bermula hari ini sehingga 31 Januari 2024, kecuali outlet di 1 Utama dan Pavilion Elite pada harga bermula RM12.90.

Selain Malaysia, Tealive turut memiliki kehadiran di Vietnam, Myanmar, Brunei, Filipina, Cambodia, Mauritius dan Kanada, manakala Bask Bear akan memfokuskan kepada pengukuhan di pasaran tempatan untuk tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, Loo menjelaskan pelan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) sentiasa ada dalam perancangan syarikat.

“Pelaksanaan IPO merupakan sesuatu yang kompleks dan ianya diuruskan oleh rakan kongsi ekuti kami, Creador.

“Saya tidak memiliki maklumat lanjut mengenai tempoh masa untuk penyenaraian kerana pihak kami lebih memfokuskan kepada operasi perniagaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN