fbpx

Andalusia taja 114 asnaf tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara asnaf yang terpilih menunaikan umrah menerusi tajaan Andalusia.

SEREMBAN – Impian 114 golo­ngan asnaf untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka terpilih menerima tajaan daripada Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) untuk menunaikan ibadah umrah.

Kesemua asnaf termasuk 77 daripadanya adalah asnaf dari negeri ini akan dibawa menunaikan umrah secara percuma selain mereka turut menerima bantuan kewangan.

Inisiatif itu adalah menerusi Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 Andalusia de­ngan kerjasama Kerajaan Ne­geri Sembilan.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, program berkenaan merupakan visi syarikat bagi menyantuni dan memberi peluang kepada seramai mungkin umat Islam untuk mengerjakan umrah.

“Kita tidak lupa kepada mereka yang sebenarnya mahu mengerjakan umrah tetapi tiada kemampuan dari segi kewangan. Sekiranya tiada bantuan, mereka mungkin tidak akan dapat menjejakkan kaki ke sana (Mekah dan Madinah).

“Dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, setiap tahun kita peruntukan sebahagian daripada kewa­ngan yang ada untuk menyantuni mereka yang tidak berkemam­puan dan kali ini nilai peruntukannya adalah melebihi RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Pelancaran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 membabitkan kerjasama Andalusia dan Kerajaan Negeri Sembilan di sini malam kelmarin.

Ida (berdiri, kiri) beramah mesra dengan sebahagian asnaf yang terpilih menerima tajaan menunaikan umrah oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. di Seremban kelmarin. – MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim turut menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Andalusia dalam menyantuni golongan asnaf di negeri ini untuk mengerjakan umrah.

“Kriteria permilihan kita untuk menyertai program umrah ini ialah individu asnaf berusia 60 hingga 75 tahun berpendapatan bawah RM900 sebulan yang sihat tubuh badan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Abdul Manan Baharudin, 71, yang ber­asal dari Kampung Jijan, Nilai melahirkan rasa bertuah apabila terpilih menyertai program berkenaan selepas menerima panggilan daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dua minggu lalu.

“Saya memang bersyukur ke­rana kalau tiada tajaan seperti ini, memang tiada harapan untuk saya ke Tanah Suci. Melihat kepada latar belakang, memang tidak mampu, tetapi Allah telah memilih saya kali ini.

“Mula-mula saya tidak percaya sebab ingatkan scammer. Tiga hari selepas itu, saya dapat ­panggilan sekali lagi yang ­me­mi­nta untuk hadir ke Baitulmal di Nilai.

“Alhamdulilah, saya dan beberapa individu lain telah diberikan penerangan awal dan mempelajari cara-cara mengerjakan umrah,” katanya yang merupakan bekas tentera.

Bagi seorang ibu tunggal, Kalsom Md. Ali, 61, dari Kampung Tenai, Gemencheh pula, dia terkejut apabila terpilih mengerjakan umrah secara percuma dan berhasrat untuk mendoakan seluruh ahli keluarganya termasuk dua dari empat anaknya yang sudah meninggal dunia apabila berada di Tanah Suci kelak.

“Sudah lama saya simpan impian ini, tidak sangka akhirnya jadi kenyataan. Memang ada pera­saan sedih lebih-lebih lagi mengenangkan anak sulung saya, Nurul Shamira Mohd Rajuna yang sudah meninggal dunia akibat kemalangan tiga tahun lalu. Dia meninggalkan seorang anak yang kini berusia enam tahun di bawah jagaan saya.

“Pada tahun 2017, saya turut kehilangan seorang anak iaitu Nurul Shazlyna yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan,” katanya.

Menurut Kalsom, dia akan menggunakan peluang mengerjakan umrah kali ini dengan sebaiknya dan berusaha mencari sebanyak mungkin pahala sepanjang berada di Tanah Suci.

Difahamkan, kesemua jemaah berkenaan akan berangkat mengerjakan umrah hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI