1- Ciuman LGBT band rock The 1975
Tindakan dan aksi tidak senonoh yang dilakukan oleh kumpulan rock terkenal dunia, The 1975 ketika membuat persembahan di festival muzik Good Vibes yang berlangsung di Sepang, Selangor pada 21 Julai lalu mengejutkan rakyat Malaysia.
Insiden tersebut dilakukan secara spontan oleh vokalisnya iaitu Matty Healy yang mencium gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.
Sejurus itu, dia dimaklumkan menerima arahan untuk hentikan persembahan sebelum di‘gam’ daripada muncul dalam mana-mana acara nyanyian di Kuala Lumpur.
2- Video perbualan Agus, Wahab tular
SEBUAH video perbualan antara bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dengan pegawainya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani menjadi sorotan umum pada 16 November 2023.
Video yang mengandungi perbualan jelik antara Agus dan Abdul Wahab itu kemudian tular dalam media sosial.
Abdul Wahab berkata, meskipun Agus membuat panggilan terlebih dahulu, namun rakaman tersebut dipotong dan disunting.
Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi digelar ‘Mr. H’.
3- Mak Cik Kemboja hina bangsa Melayu
TINDAKAN seorang usahawan yang juga pempengaruh, Mariyah Yaakob, 49, memuat naik sebuah video berbaur penghinaan di laman sosial TikTok pada 19 November 2023 mengundang kemarahan rakyat Malaysia.
Dalam video tular berkenaan, wanita yang turut dikenali sebagai Mak Cik Kemboja itu mengaku dirinya berketurunan dan warganegara Kemboja dengan bergurau menyatakan orang Melayu pemalas.
Namun, atas laporan polis yang dibuat orang ramai, Mariyah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, anak lelakinya, Ezuan Hafsyam Mohd. Hisyam, 22, pula dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1908 (Akta 588).

4- Kontroversi influencer
Tahun ini menyaksikan kisah beberapa pempengaruh menjadi kegemaran perbualan netizen. Pertama, melibatkan suami isteri, View Chin dan Shermine Ah Moi. Shermine berkongsi bukti perbualan WhatsApp suaminya, View Chin ‘berskandal’ bersama seorang kakitangan mereka, Amirah Aqilah Firdaus di TikTok dan Facebook miliknya sekitar April 2023.
Kemudian kes kahwin dua melibatkan Abang Tesla dan Alif Teega mengundang kekecohan di media sosial masing-masing pada Ogos dan November lalu.
Berlainan pula dengan pensohor Syamimia yang teruk dikecam selepas didakwa tidak cakna nasib rakyat Palestin sekitar Oktober lalu.
















