fbpx

ALGORITMA 2023: 5 topik utama, terbesar tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Solidariti rakyat Malaysia bersama Palestin serta peristiwa nahas Elmina yang mengorbankan 10 orang antara berita terbesar di Malaysia tahun ini.

1- Doa, solidariti buat Palestin

DALAM era digital dan media sosial masa kini, algoritma (algorithm) adalah satu istilah lazim dalam pengumpulan dan penyaringan kandungan-kandungan bagi menentukan apa yang paling dikehendaki khalayak. Begitu jugalah dengan kerencaman hal pada 2023 ini, setelah diperhalusi, pasti ada insiden atau isu yang didapati paling menonjol dan mengesankan tahun ini.

Perang Palestin-Israel biarpun hanya bermula dua bulan sebelum tahun 2023 berakhir, namun ia dilihat sebagai topik terbesar tahun ini secara global dan dalam negara. Pertempuran sejak 7 Oktober lalu masih berterusan hingga kini dan kerakusan rejim Zionis Israel terus membedil Gaza tidak tahu bila akan bernoktah.

Sebaik serangan bermula, Israel dilaporkan memutuskan bekalan elektrik, air dan makanan ke Gaza. Bantuan kemanusiaan hanya memasuki Gaza apabila satu-satunya pintu, Pintu Rafah di sempadan Gaza-Mesir mula dibuka selepas dua minggu.

Penderitaan Gaza bertambah parah apabila Zionis terus menyerang tempat awam termasuk masjid, gereja dan hospital.

Sehingga kini, lebih 20,000 orang termasuk lebih 8,000 kanak-kanak telah terkorban di Gaza.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 275 rakyat Palestin, termasuk 63 kanak-kanak dibunuh oleh tentera Israel atau peneroka bersenjata di Tebing Barat.

Berbeza tahun-tahun sebelumnya, konflik Palestin-Israel kali ini menyaksikan kebangkitan aktivis-aktivis digital yang lantang melawan naratif media arus perdana Barat.

Banyak penduduk di seluruh dunia bersolidariti mengadakan perhimpunan menentang tindakan Israel yang disifatkan melakukan genocide iaitu penghapusan atau pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza.

Bagi masyarakat awam pula, anjuran boikot produk-produk yang memiliki perkaitan dengan Israel dilakukan pada skala global.

Gelombang sama turut berlaku di Malaysia dengan penganjuran perhimpunan solidariti Palestin di setiap negeri dan peringkat.

Perhimpunan terbesar melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu dengan kehadiran lebih 16,000 orang. Pada majlis itu, turut diadakan bacaan doa qunut nazilah.

Kementerian Pendidikan turut menganjurkan Minggu Solidariti Palestin yang bermula pada 29 Oktober di sekolah-sekolah untuk menyebarkan mesej kemanusiaan.

Rata-rata rakyat Malaysia juga memilih untuk menukar jenama-jenama pro-Israel kepada produk-produk tempatan. Kesan boikot terhadap jenama besar dalam skala global itu memperlihatkan masyarakat mengurangkan kebergantungan terhadap produk budaya popular.

 

2- Tragedi berdarah Elmina kejutkan negara

TAHUN ini negara digemparkan dengan tragedi nahas luar biasa dan menyayat hati apabila sebuah pesawat terhempas di jalan raya di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Seramai 10 individu maut dalam kejadian sekitar 2.40 petang itu iaitu lapan yang menaiki pesawat dan dua lagi merupakan pengguna jalan raya. Lapan individu di dalam pesawat termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53.

Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd. Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Seorang rider penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta e-hailing yang kebetulan melalui lokasi berhampiran turut maut. Mangsa ialah Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan Sharipudin Shaari, 51.

Pesawat yang terhempas jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu adalah jet persendirian yang sedang dalam perjalanan dari Langkawi menuju ke Subang Jaya sebelum terhempas di lokasi kejadian yang tidak jauh dari Lapangan Terbang Subang.

Pesawat tersebut yang berlepas dari Langkawi telah diberikan kebenaran untuk mendarat oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 2.40 petang.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

 

Langkah India hentikan eksport beras beri impak kepada Malaysia.

3- Isu ‘hangat’ keterjaminan makanan

ISU sekuriti atau keterjaminan makanan bukanlah satu perkara baharu tetapi pada 2023 istilah ini menjadi tumpuan. Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjenamakan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Perang Russia-Ukraine yang berlarutan ke tahun kedua terus memberi kesan kepada harga makanan dan perubahan bekalan makanan global. Russia dan Ukraine ialah pengeksport bijirin terbesar di dunia.

Di Malaysia, isu makanan bermula pada awal tahun lagi apabila hangat dilaporkan mengenai masalah bekalan ayam dan telur yang masih belum pulih sejak hujung tahun lalu sehingga ada ahli parlimen yang membawa telur ayam ke Dewan Rakyat.

Kemudian, sekitar Mei, masalah gula pula dilaporkan dengan banyak negeri alami masalah kekurangan bekalan gula sehingga kerajaan menubuhkan sebuah task force rentas kementerian melibatkan empat kementerian bagi menyelesaikan masalah gula secara komprehensif.

Masalah beras pula hangat sejak September lalu. Langkah India yang menghentikan eksport beras mendatangkan impak kepada Malaysia.

Keadaan itu mendorong kerajaan mempertingkat pengeluaran beras dalam negara. Antara inisiatif adalah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) berdasarkan empat model iaitu SMART SBB Padi Putih, SMART SBB Padi Wangi, SMART SBB Asnaf dan SMART SBB Mini Sekinchan.

 

4- Rahmah, Kerajaan Malaysia Madani

GABUNGAN Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang menjadi kerajaan setelah Pilihan Raya Umum ke-15 akhir tahun lalu telah membuka lembaran sejarah baharu buat negara.
Kedua-dua parti yang sebelum ini seteru, akhirnya bersama membentuk Kerajaan Perpaduan dan seterusnya memperkenalkan gagasan Malaysia Madani.

Kini setahun telah berlalu, gabungan tersebut telahpun berjaya melaksanakan beberapa inisiatif kepada rakyat.

Antara inisiatif yang telah direalisasikan adalah program Payung Rahmah bagi membantu golongan B40 mendepani isu kos sara hidup. Agenda nasional itu merupakan usaha baik yang diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terdahulu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Selain itu, inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk harga internet lebih murah serta perluasan liputan rangkaian 5G.

Pada Julai lalu, kerajaan melancarkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap (Home Internet) Allo diiikuti pada awal Disember ini inisiatif RM100 e-kredit eMadani yang diperkenalkan untuk dimanfaatkan 10 juta rakyat Malaysia berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

Lantaran itu, perkataan ‘rahmah’ juga menjadi sebutan dalam kalangan rakyat sepanjang tahun ini untuk menggambarkan apa-apa pakej atau harga murah.

 

5- PRN enam negeri berjalan serentak pertama kali dalam sejarah

SUHU politik di negara kita pada tahun ini boleh dikatakan tetap panas apabila berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di buah enam negeri yang berlangsung pada 12 Ogos lalu.

Keputusan PRN itu menyaksikan status quo di enam negeri kekal di mana gabungan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) pula terus menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Selangor, berdasarkan statistik rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 33 daripada 54 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN (21).

Di Pulau Pinang pula, PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti 29 daripada 40 kerusi DUN, manakala PN (11).

Di Negeri Sembilan, PH-BN mengekalkan penguasaan selepas memperoleh kemenangan majoriti 31 daripada 36 kerusi, manakala PN (lima kerusi).

Bagi Terengganu, PN begitu unggul apabila menang di kesemua 32 kerusi DUN.

Di Kelantan, PN melalui Pas membentuk kerajaan negeri selepas menang 43 daripada 45 kerusi, manakala PH-BN (dua kerusi).

Sementara itu, di Kedah, PN berjaya memperoleh 33 kerusi DUN, manakala PH hanya mendapat tiga kerusi.

Keputusan PRN ini ternyata menepati ramalan pelbagai badan kajian politik mengenai status quo ataupun keputusan 3-3.

Meskipun keputusan PRN itu mengekalkan status quo, PN dilihat lebih signifikan kerana berjaya menguasai 60 peratus daripada 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN di enam negeri itu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI