fbpx

K2

Hukum sertai program larian, biasiswa pengamal riba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACARA yang dianjurkan merupakan satu usaha mempromosikan syarikat pengamal riba.- Gambar hiasan

Saya mohon bertanya, apakah hukum menyertai pertandingan marathon atau apa-apa pertandingan yang ditaja oleh bank konvensional? Apakah pula hukum menerima biasiswa pengajian dari bank-bank konvensional? Adakah ini boleh dikira sebagai mempromosikan riba dan meredai amalan riba yang dilakukan oleh bank-bank tersebut? Mohon pencerahan Sahibus Samahah kerana baru-baru ini tular di media sosial, seorang ustaz mendakwa haram menyertai pertandingan ditaja oleh bank konvensional.

JAWAPAN: Perbankan konvensional merupakan institusi yang menyediakan perkhidmatan kewangan meliputi simpanan, pinjaman, pelaburan dan perdagangan yang tidak berteraskan syariah. Perkhidmatan yang disediakan berteraskan kepada perkara yang dilarang syarak iaitu mempunyai unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan perjudian.

Persyaratan ‘pematuhan syariah’ tidak dipraktikkan pada akaun simpanan konvensional, hubungan antara pelanggan akaun simpanan konvensional dengan bank pula didefinisikan sebagai penghutang dan pemiutang.
Pihak bank berhak menggunakan dana yang dideposit untuk segala jenis pelaburan tanpa tertakluk kepada peraturan bagi larangan syariah.

Daripada aspek pembiayaan pula, bank konvensional akan memberikan pinjaman berdasarkan faedah dan keuntungan akan diperolehi melalui faedah tersebut. Mereka juga melakukan segala transaksi yang diharamkan seperti perjudian, spekulasi, short-selling dan penjualan hutang.

Daripada segi bahasa, riba bermaksud lebihan ataupun tambahan. Ia juga boleh didefinasikan sebagai segala bentuk tekanan yang berlaku melibatkan urusan jual beli atau pinjaman.

Berhubung soal hukum riba, semua pihak atau individu yang termasuk dalam pengurusan pinjaman dikira terlibat dengan kegiatan riba.
Mereka terdiri daripada peminjam iaitu penerima hutang dan pemberi hutang atau institusi yang memberi hutang. Islam telah menyatakan bahawa amalan riba adalah jelas haram dan merupakan dosa besar yang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Allah SWT berfirman: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”[Surah al-Baqarah: 275]
Penganjuran kepelbagaian acara seperti sukan dan pertandingan oleh perbankan konvensional adalah dengan menyediakan dana program serta tajaan hadiah kepada peserta terlibat.

Di samping itu, penganjur meletakkan jenama atau logo institusi pada papan iklan serta barangan yang diterima oleh peserta secara percuma sebagai hadiah atau barangan yang diterima melalui bayaran penyertaan peserta.

Perkara ini merupakan salah satu kaedah mempromosi perbankan konvensional kepada masyarakat awam. Hal ini dilarang kerana mempunyai unsur keterlibatan dalam membantu melakukan perkara mungkar.

Mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata merupakan satu kewajipan.

Kesimpulan, daripada keterangan dan huraian di atas dapat disimpulkan bahawa menyertai acara dianjurkan oleh perbankan konvensional dianggap terlibat dalam unsur mempromosikan perbankan yang jelas terlibat dengan riba.

Acara atau program yang dilaksanakan secara tidak langsung telah menarik masyarakat menggunakan perkhidmatan kewangan berteraskan riba.

Berdasarkan kaedah fiqh berikut: “Hukum suatu wasilah itu bergantung kepada maqasid (tujuan yang ingin dicapai).” Maka membantu kepada perkara yang haram dan bermaksiat adalah haram hukumnya.

Menerima biasiswa pengajian daripada bank konvensional adalah harus sekiranya jelas halal sumbernya seperti wang zakat daripada hasil perniagaan patuh syariah yang dilakukan oleh pihak bank.

Namun sekiranya sumber biasiswa itu tidak diyakini halalnya, adalah lebih baik dihindari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI