fbpx

5 resepsi, 5 kali Imran Aqil, isteri bulan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Imran Aqil didakwa membazir selepas beberapa kali mengadakan majlis resepsi.

PETALING JAYA – Didakwa membazir selepas mengadakan majlis resepsi kali kelima Ahad lalu, pelakon Imran Aqil mengakui kenduri berbeza adalah bagi memenuhi permintaan ibu bapanya dan keluarga sebelah isteri, Dahlia Rizal.

Kata pemilik nama Muhammad Imran Aqil Mohd. Salehuddin itu, orang tua masing-masing sudah bercerai dan berkahwin lain, sekali gus mereka mahu meraikan pengantin sambil menghimpunkan saudara mara serta kenalan.

“Ibu bapa saya dan Dahlia sudah berpisah lama dengan masing-masing telah berkahwin lain, jadi mereka yang ingin membuat majlis sehinggalah kali kelima, kelmarin.

“Sebagai anak kami turutkan sahaja kerana pada masa sama kenduri yang dilaksanakan bermula pernikahan pada 10 September lalu hakikatnya merapatkan lagi silaturahim terutama dapat jumpa sanak saudara.

“Tiada istilah membazir kerana kita jamu tetamu yang turut mendoakan kesejahteraan seisi keluarga kita malah paling ramai jemputan pun pada resepsi terakhir kami dengan 700 tetamu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut pelakon Budak Tebing 2 itu, sebahagian daripada penganjuran hari istimewa mereka itu juga adalah hasil tajaan serta kolaborasi dengan pihak lain.

Kata Imran, isterinya Nur Dahlia Ahmad Rizal, 22, yang kerap menjalin kerjasama dengan jenama produk selaku pempengaruh media sosial banyak terima pelawaan syarikat untuk menjadi penaja.

“Bukanlah bermakna semua kos membabitkan acara perkahwinan kami ditaja, sebaliknya hanya sebahagian sahaja dan semua ini kami anggap sebagai rezeki,” ujarnya.

Menurut aktor berusia 24 tahun itu lagi, mereka juga berpeluang menikmati bulan madu sebanyak lima kali iaitu setiap kali selesai majlis, juga hadiah daripada rakan kolaborasi.

“Insya-Allah jika tiada aral kami akan terbang ke Istanbul, Turkiye pada Sabtu ini untuk berbulan madu di sana yang dijangka selama seminggu.

“Ini percutian yang kami keluarkan bajet sendiri selepas sebelum ini ada pihak menaja pakej ‘honeymoon’ ke Langkawi disusuli, Korea Selatan, Kashmir, India dan Indonesia.

“Tidaklah terikat meski ditaja kerana pihak terbabit hanya mahu kami berkongsi produk atau perkhidmatan disediakan dengan pengikut kami iaitu sama macam konten kami buat sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu, Imran serta isterinya yang juga model muslimah disatukan pada 10 September lalu di Melaka selepas setahun mengikat pertunangan.

Selepas diraikan dalam empat acara, resepsi kali kelima di Hotel Royale Chulan Damansara yang menjadi bualan ramai turut dihadiri isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI