fbpx

Tiada sebab tidak pertimbang kelulusan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan terutama menerusi Kementerian Pengangkutan tiada sebab untuk tidak mempertimbangkan kelulusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kerana segala keperluan yang menjadi syarat untuk membangunkannya sudah hampir sempurna.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kalangan pelabur yang berpusu-pusu masuk ke Kedah kini turut menyatakan keyakinan yang sangat memberangsangkan terhadap pembinaan lapangan terbang itu.

Malah katanya, baru-baru ini beliau bersama barisan pengurusan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. telah ke Rom, Itali atas jemputan Enav Group yang cukup dikenali dalam bidang penyediaan khidmat pengurusan lalu lintas serta navigasi udara.

“Kami ke Itali minggu lepas untuk satu lawatan kerja bagi meninjau kerjasama dengan Enav. Menariknya, mereka menggunakan teknologi terkini kawalan udara dengan hanya menggunakan kamera tanpa perlu membina menara tinggi di lapangan terbang.

“Malah pusat kawalan juga hanya berada di tingkat satu bangunan. Perkara itu saya rasa akan menjadi teknologi masa depan dalam industri penerbangan dan mereka menawarkan perkhidmatan tersebut kepada KXP,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kata beliau, pihak itu juga sedia melatih pengendali pusat kawalan untuk menggunakan pelbagai aplikasi kawalan udara menggunakan kamera.

“Setakat ini kita merasakan semua keperluan yang menjadi syarat untuk membina KXP sudah hampir sempurna dan tiada sebab lagi untuk projek itu tidak dipertimbangkan khususnya oleh Kementerian Pengangkutan,” ujarnya.

Menurutnya, kelulusan terhadap pembinaan KXP cukup penting ketika Kerajaan Persekutuan sebelum ini sudah pun memberi kelulusan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memulakan pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM) serta taman perindustrian dan perniagaan yang menjadi komponen Kedah Aerotropolis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI