fbpx

PBAPP rancang pulih bekalan air berperingkat awal Januari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (kanan), menunjukkan kawasan yang bakal mengalami gangguan bekalan air selama 96 jam, bermula bermula 10 Januari depan. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memastikan majoriti atau lebih daripada 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam ketika gangguan bekalan air berjadual, awal Januari depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau juga telah meminta PBAPP menyalurkan semula bekalan air untuk pengguna bukan domestik yang besar di Batu Kawan, Bukit Minyak, Butterworth, Perai, George Town dan Kawasan Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas dalam jangka masa yang sesingkat mungkin.

“Tindakan ini dirancang berdasarkan maklum balas yang kita terima daripada pelbagai pihak, jadi kita telah meminta PBAPP untuk merancang dan menyelaras pemulihan perkhidmatan bekalan air yang lebih pantas.

“Sebagai tindak balas, pasukan PBAPP merancang untuk memulihkan perkhidmatan bekalan air secara beransur-ansur untuk 590,000 pengguna terjejas secara berperingkat, dalam jangka masa antara 48 jam hingga 96 jam.

“Matlamat keseluruhan adalah untuk memastikan majoriti, atau lebih daripada 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, dalam tempoh gangguan bekalan air yang dijadualkan, PBAPP akan mengerahkan 55 lori tangki air untuk mengangkut air mengikut jadual tetap kepada pengguna yang terjejas.

“Sebanyak 60 tangki air statik juga akan dipasang di kawasan sasaran bagi membantu memenuhi keperluan air pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI