fbpx
Model ini memberikan keselesaan liburan melalui pelbagai aksesori yang tersedia dalam Porsche Tequipment.

Liburan gaya mewah Cayenne SUV Porsche

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA Porsche begitu dikenali sebagai syarikat automotif yang menghasilkan kereta sport mewah berprestasi tinggi.

Sekitar tahun 2002, syarikat itu telah memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang pertama dalam sejarah Porsche.

SUV dengan nama Cayenne yang berkongsi platform dengan Volkswagen Toureg dan Audi Q7 itu telah mula dijual sejak tahun 2004.

Porsche sudah sinonim dengan karakter supercar atau sportcar, maka tentulah SUV pertama mereka turut membawa identiti tersebut sebagai satu penanda aras jenama dari Jerman itu.

Sejak diperkenalkan Cayenne sebagai SUV Porsche untuk lima penumpang, ia telah menjadi ikon tersendiri dan menjadi antara model penting dalam portfolio Porsche.

Pada bulan Oktober lalu, Porsche Malaysia, diwakili Sime Darby Auto Performance telah melancarkan model Cayenne pemasangan tempatan (CKD).

Model ini sebenarnya baru beberapa bulan lalu membuat debut di peringkat global untuk versi dipertingkat bagi tahun 2023.

Baru-baru ini penulis telah dipelawa Porsche Malaysia untuk menyertai satu sesi pandu uji model ini.

Laluan pandu uji merangkumi lebuh raya, jalan raya Persekutuan, jalan kampung dan jalan berbatu.

Penulis difahamkan, Cayenne yang dipertingkat ini telah diperhalusi agar lebih mewah dan berprestasi tinggi.

Ia hadir dengan konsep kawalan dan paparan digital, teknologi chasis baharu serta spesifikasi tempatan yang telah dipertingkat.

Model ini menampilkan naik taraf produk yang paling ekstensif dalam sejarah Porsche dengan peningkatan spesifikasi yang dibuat khusus untuk pasaran Malaysia.

Antara pakej yang hadir bersama model ini seperti pakej peralatan standard yang telah dipertingkatkan seperti kawalan jelajah adaptif, pintu jenis soft-close dan Sport Chrono Package.

Peralatan standard yang ada pada Cayenne pemasangan tempatan sebelum ini juga dikekalkan.

Ini termasuklah tempat duduk kawalan elektrik 14 tetapan dengan ciri memori, sulaman logo Porsche pada perehat kepala kerusi hadapan, kawalan pendingin hawa empat zon dan bidai cermin belakang kawalan elektrik.

Opsyen baharu yang ditawarkan untuk memenuhi keinginan pelanggan dengan Porsche Tequipment seperti sistem hiburan untuk tempat duduk belakang yang mampu meningkatkan pengalaman pelanggan ketika berada di dalam Cayenne baharu.

Porsche Malaysia juga telah mengumumkan pakej personalisasi untuk model Cayenne CKD. Pelanggan boleh menempah pilihan rim Cayenne Exclusive Design bersaiz 21 inci dan rim Sport Design berukuran 22 inci.

Jika perjalanan melibatkan laluan off-road atau kembara, ada banyak aksesori Porsche Tequipment yang boleh anda miliki. Antaranya ialah khemah bumbung dan kotak bumbung berprestasi, rak letak basikal di bahagian belakang serta banyak lagi.

Ruang dalamannya yang berwarna merah dan hitam.

Porsche Cayenne ini menggunakan enjin 3.0 liter Turbo V6 dan transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic S.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 353PS pada 5,300 hingga 6,400rpm dan tork tertinggi pada 1,340 hingga 5,300rpm.

Atas kertas, kelajuan maksimum model ini mencecah 248 kilometer sejam (km/j) dan mampu memecut dari pegun hingga 100km/j hanya dalam masa 5.7 saat.

Selain itu, model ini hadir dengan ciri-ciri Porsche Traction Management (PTM), Porsche Stability Management (PSM), Automatic Brake Differential, Porsche Active Suspension Management (PASM), Adaptive Air Suspension dan Power Steering Plus.

Dari sudut luaran pula, SUV ini datang dengan lampu matrix LED sebagai ciri-ciri standard.

Pada bahagian belakang pula, lampu belakangnya tampil dengan rekaan baharu serta papan nombor pendaftaran di bahagian bawah.

Kesimpulannya, walaupun jentera ini sebuah SUV, ia masih mengekalkan karakter sebuah Porsche pada model ini dengan menerapkan beberapa elemen sporty.

Dari sudut pemanduan, ia memberikan pengalaman tersendiri dari segi prestasi dan kawalan pemanduan kerana menggunakan enjin dan suspension yang bagus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN