fbpx
TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya . Hilang kontrak akibat lantang menyelar Israel, namun Kaka Azreaff berpaut kuat pada prinsip kemanusiaan demi saudara seagama yang dibedil hari demi hari di Palestin.

Jihad kecil Kaka Azraff demi agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SATU Malaysia ‘bersolidariti’ di belakang pemilik nama lengkap Nor Atiqa Noor Azraff itu yang sanggup merisikokan kerjaya seni demi memperjuangkan hak kemanusiaan saudara seagama di Gaza, Palestin.

Biarpun lidahnya tajam menikam emosi pihak yang berkenaan, terutama pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic lantas ‘mengheret’ kariernya ke lembah risiko, Kaka Azraff, 34, tiada gentar bergerak ke hadapan.

Baginya, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab sesama manusia bukan hanya bersifat keagamaan atau perkauman.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa Israel merobek-robek undang-udang antarabangsa dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan di Palestin.

Umum mengetahui, disebabkan kelantangan suara mempertahankan bumi Palestin, kontrak pelantun lagu Bukan Hal Aku itu dengan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia ditamatkan berkuat kuasa 31 Disember ini.

Tenang berdepan situasi yang sedikit sebanyak mengganggu periuk nasinya sebagai pelaku seni, Kaka tidak melatah mengayuh langkah yang disifatkan sebagai jihad kecil buat agama.

Tidak terkilan

“Saya tak terkilan pun kontrak ini ditamatkan. Cuma saya terkilan dengan pendekatan secara tiba-tiba dan tidak memberi saya ruang berbincang dengan lebih jelas, walaupun tempoh diberikan dalam masa 30 hari (penamatan kontrak),” jelasnya kepada media dalam satu sidang media tergempar di ibu negara beberapa hari lalu.

Mengakui khilaf sendiri terbawa-bawa emosi ketika melayangkan direct message (DM) kepada Nathaniel Buzolic sehingga menjadi asbab tercetusnya segala konflik, isteri kepada Adam Azriff itu tunduk akur salah percaturannya.

Bagaimanapun, dia menjustifikasikan bahawa dengan keadaan semasa ribuan orang Palestin dibunuh tanpa rasa perikemanusiaan, ada sebab mengapa dia bertindak sedemikian.

“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti yang diuar-uarkan pihak tersebut.

“Saya hanya meluahkan pendapat peribadi terus kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.

KAKA menafikan dirinya antisemitik sebagaimana dakwaan pihak pro-Israel, dia sebaliknya meluahkan pendapat kepada individu tertentu secara DM, bukan komen secara terbuka.

Bukan antisemitik

“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu (bahkan sehingga kini pun), menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku di hadapan mata seisi dunia pada waktu ini.

“Mungkin, saya seharusnya memilih kata-kata yang lebih sopan, saya tidak nafikan hal itu.

“Tapi saya sudah katakan dan saya tidak ingin memandang ke belakang,” ujarnya panjang lebar.

Pada saat artikel ini dinukilkan, terlalu ramai peminat, termasuk golongan selebriti memberi sokongan kepada ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Dari satu perspektif, jika memang sudah Israel terang-terangan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin demi kekuasaan tanpa menghiraukan pandangan atau undang-undang dunia, mengapa dengan hanya satu frasa mengkritik bukan bersifat terbuka secara mudah menguburkan hayatnya bersama Warner Music Malaysia.

Sejak 7 Oktober lalu, seramai 16,000 rakyat Palestin telah dibunuh yang kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Itu fakta bukan omongan kosong.

Adakah menamatkan riwayat sesama manusia tanpa rasa bersalah atau kompromi lebih bersalah berbanding hanya dengan kritikan sebaris kata yang diperbesar-besarkan sebilangan individu penyokong bangsa yang kononnya teraniaya sejak 1948?

Jawapannya ada dalam hati pihak terbabit. Tepuk dada, tanyalah selera masing-masing.

Kaka bernaung bawah payung Warner Music Malaysia bukan sehari dua, bahkan dia antara artis yang sudah lama ‘berteduh’ di syarikat rakaman tersebut.

KAKA percaya rezeki itu luas namun pendekatan ‘keras’ Warner Music yang secara tiba-tiba menamatkan kontraknya dengan alasan penggunaan bahasa agar kasar dalam mesej (DM) kepada seorang artis lain sedikit menyebalkan. – FARIZWAN HASBULLAH & MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Lama bernaung bawah Warner

Selayaknya, Kaka diberi ruang dan penjelasan kukuh, adakah memang benar tulisannya dalam media sosial yang menyebabkan kontrak ditamatkan atau ‘tuan tanah kedaung’ di peringkat yang tertinggi menginginkan sesuatu terus memarakkan api kebencian yang kini tidak lagi boleh dibendung.

“Sebagai salah seorang artis rakaman dan antara yang paling lama di Warner Music Malaysia, saya percaya, paling kurang saya seharusnya diberikan sebab rasmi mengapa pengurusan label ini memutuskan untuk menamatkan kontrak saya,” katanya.

Rasanya, majoriti khalayak yang mengikuti isu ini sedia maklum dengan kenyataan Warner Music Malaysia berhubung penamatan kontrak Kaka atas alasan penggunaan bahasa terhadap individu terbabit.

Dari satu sudut, Kaka juga tersilap langkah dan disebabkan apa yang hangat dibicarakan sekarang, tidak mustahil Warner Music Malaysia akan tertempias dampak tidak terduga kerana ‘purchasing power’ atau kuasa membeli orang Malaysia memang sangat kuat.

Ada dua kemungkinan sama ada menghidupkan atau mematikan sesuatu produk kerana dalam pada trend boikot yang berlalu pergi, tekanan ekonomi rakyat sekarang menjitukan semangat membulatkan hati masing-masing.

Buat Kaka, teruskan perjuangan menegakkan jihad anda biarpun ditunjuk jalan keluar ke sini dan ke sana. Sesungguhnya, rezeki Ilahi itu luas dan jangan pernah punah harapan merais rezeki di mana-mana.

KAKA Azraff ditemani pasukannya mengadakan satu sidang media khas berhubung penamatan kontrak oleh pihak Warner Music Malaysia.,
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN