fbpx

Galak mengulas, jangan sampai aib sendiri terlondeh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEJAK kemunculan platform media sosial, ramai yang cen­derung menjadi pengulas tanpa tauliah terutamanya perkara yang membabitkan aib termasuk perihal rumah tangga orang lain.

Situasi ini dilihat bertambah parah, pantang sahaja ada isu baharu timbul maka berduyun-duyun tampil berkongsi cerita, menzahirkan pandangan dan buah fikiran masing-masing bagaikan tiada hari esok.

Adakala penulis berasa gerun membaca dan mendengar komen pakar-pakar motivasi ‘celup’ dan pengulas tidak bertau­liah ini yang rakus menilai, meng­hukum serta menentukan nasib seseorang.

Ingat, mungkin belum masa­nya kita diuji, jadi jangan terlalu sibuk perihal kain orang, hingga tidak perasan kain sendiri ­terbuka.

Cukup sekadar mengambil iktibar di atas masalah yang berlaku dan belajar untuk muhasabah diri.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad, tindakan individu yang ‘ghairah’ mengulas aib atau perihal rumah tangga orang lain ini boleh menyebabkan kecede­raan psikologi kepada orang lain.

Jelas beliau, tindakan ber­kenaan bukan sahaja menjejaskan emosi, malah lebih teruk ia boleh menyebabkan punca kepada kejadian bunuh diri.

“Golongan yang suka me­ngulas tentang aib orang lain termasuk isu rumah tangga, boleh mencederakan psikologi (psychology injured) orang yang dimaksudkan mahupun pembaca atau netizen.

“Kalau golongan ini ada masalah kemurungan ringan, ia boleh bertukar menjadi lebih ­buruk.

“Tidak mustahil ia juga boleh menyebabkan pasangan yang masih ada harapan untuk ­berdamai terus bercerai kerana ‘ulasan’ berkenaan atau lebih te­ruk menyebabkan kes bunuh diri,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah Fauziah, terdapat sesetengahnya netizen yang berdepan dengan krisis rumah tangga sehingga mereka ghairah mengulas kisah hidup orang lain.

Jelasnya, mereka ini sebenarnya tertekan dan menggunakan isu orang lain sebagai medium untuk dirinya meluahkan.

“Dia stres, tapi gunakan kisah orang lain untuk ulas dan gunakan medium ini untuk balas dendam (kepada pasangan) sebab tidak berupaya untuk menyatakannya secara semuka.

“Contohnya bila timbul dan tular kes poligami dalam diam, ramai isteri jadi tertekan, membe­rontak dan pandang pasangan sendiri dengan penuh syak wasangka.

“Jadi mereka gunakan media sosial ‘kononnya’ untuk mengulas isu berkaitan tetapi sebenar­nya menggunakan cara itu sebab tidak mampu untuk meluahkannya, bimbang pasangan membe­rontak,” jelasnya.

Fauziah berkata, langkah terbaik adalah menerima dengan hati terbuka jika membaca atau mendengar apa sahaja isu yang melibatkan emosi terutamanya di media sosial.

“Kalau dengar apa pun isu, kita kena belajar untuk tenang, terima, move on dan muhasabah diri. Jangan terlalu teruja, cepat nak menghukum dan ulas tentang masalah orang lain.

“Sebabnya, kita tak tahu bila dan dengan cara apa kita akan diuji jadi jangan terlalu yakin kehidupan kita ni sempurna berbanding orang lain,” tambahnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI