fbpx

Pendaki Everest pertama negara bersara sebagai pengetua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Magendran (tengah) mengucapkan selamat tinggal kepada warga guru dan pelajar SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Mengurus sekolah ketika pandemik Covid-19 dan bah besar dialami dua tahun lalu antara cabaran terbesar kepada Datuk M. Magendran.

Pendaki pertama negara menawan Gunung Everest itu, bersara wajib sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Kata Magendran, sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) adalah cabaran baharu ditempuhi sepanjang lebih 34 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan.

Malah, beliau mengakui ada di kalangan pelajar tidak dapat mengikuti PdPR secara sepenuhnya disebabkan liputan internet yang kurang baik.

“Apa dalam fikiran saya adalah agar tiada anak-anak (pelajar) tercicir dalam pelajaran kerana ilmu itu penting meskipun ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Jadi yang mana tidak dapat ikuti PdPR di rumah, kita benarkan mereka hadir ke sekolah namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis persaraannya di SMK Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh sesi pembelajaran itu dilaksanakan berlaku musibah apabila banjir besar berlaku sehingga menjejaskan sebahagian bilik darjah.

“Semua bilik kelas di tingkat satu sekolah ditenggelami air dan sesi persekolahan terpaksa dihentikan sementara termasuk bagi kerja pembersihan.

“Syukur ramai pihak yang tampil bantu sehingga kami berjaya membaiki serta membeli peralatan baharu bagi kegunaan pelajar dan guru,” katanya.

Ditanya perkara dilakukan selepas bersara, Magendran akan meluangkan masa termasuk melancong bersama keluarganya.

“Pada masa ini, saya masih mempertimbangkan dua tawaran diterima setakat ini iaitu pensyarah di salah sebuah universiti tempatan.

“Selain itu, kerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pelancongan berkonsepkan melakukan aktiviti rekreasi,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI