fbpx

Impak luar biasa fesyen quirky, ranggi Melinda Looi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Melinda Looi terkenal dengan rekaan yang quirky dan unik.

MENGETENGAHKAN fesyen yang quirky atau unik, pereka fesyen terkenal tanah air, Melinda Looi menutup tahun 2023 dengan memperkenalkan koleksi baharunya dalam sebuah pertunjukan fesyen mini.

Looi yang merupakan graduan La Salle School of Fashion, Kanada baru-baru ini mengadakan sebuah pertunjukan fesyen Fashion Suite yang bertempat di Bon Estate Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur bagi koleksi terbaharunya di bawah label Mell by Melinda Looi.

Menerusi koleksi yang diberi nama sebagai Crossworld Collection itu, Looi yang cukup terkenal dengan gaya quirky mempertaruhkan lebih 20 rekaan busana wanita dengan rekaan unik dan warna-warna yang menarik.

Ujar Looi, pelancaran koleksi tersebut dalam rona-rona terang seperti merah, biru dan jingga bukan sahaja untuk bergaya, tetapi ia juga merupakan caranya untuk meraikan warna, kepelbagaian dan juga keberanian dalam berfesyen.

“Mell by Melinda Looi merupakan satu label di bawah jenama Melinda Looi dan bagi label ini, saya mempertaruhkan pakaian dengan rekaan yang lebih urban.

“Selepas lama menyepi dan juga berehat akibat pandemik Covid-19, tahun ini, saya kembali mengadakan pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur,” katanya.

Rangkaian busana sedia dipakai yang pasti memikat gadis muda.

Tambah Looi, Crossworld Collection yang dilancarkan itu merupakan koleksi ketiga di bawah label Mell by Melinda Looi.

“Koleksi yang dilancarkan ini adalah merupakan koleksi yang ketiga label ini.

“Sama seperti koleksi-koleksi sebelum ini, kami menawarkan rangkaian busana ready-to-wear yang dikenali sebagai Cruise Collection atau koleksi akhir tahun kami yang terdiri daripada busana untuk wanita dalam pelbagai warna-warna ceria.

“Kesemua rekaan ini sudah pun boleh dibeli di Parkson, pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, pusat beli-belah Sogo Southkey Mid Valley Johor Bahru, Johor dan juga menerusi laman web kami,” katanya.

Antara busana yang diperkenalkannya termasuklah dres paras lutut, blaus dengan leher potongan boat dan juga skirt.

Suntikan elemen tradisi yang menambahkan keunikan koleksi.

Pemilihan fabrik seperti sifon, net mesh dan juga kain jenis jacquard adalah bagi memberikan kepelbagaian kepada setiap rekaan menjadikan ia boleh disuaipadankan dengan koleksi sedia ada.

Kongsi Looi lagi, menerusi koleksi itu juga, dia menggabungkan pesona rekaan yang eksotik dengan keanggunan seorang wanita bagi menjadikan setiap busana itu tampak luar biasa dan mengagumkan.

Selain sinonim dengan gayanya sendiri, Looi juga berkata, pemilihan warna-warna terang bagi koleksi tersebut adalah bagi menyerlahkan lagi sisi berani pemakai.

Ujar Looi, menerusi koleksi baharunya itu, dia juga berhasrat untuk memperkenalkan pereka-pereka baharu di bawah pasukannya.

“Apabila saya memperkenalkan koleksi baharu ini, secara tidak langsung saya juga dapat memberikan pendedahan kepada pereka muda yang kini bekerja bersama saya, supaya mereka boleh sama-sama belajar dan melihat sendiri proses penghasilan sesuatu busana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI