fbpx

Audit subsidi minyak masak dijangka siap hujung Januari – Armizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Putrajaya, hari ini. FOTO - FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perincian laporan mengenai audit subsidi minyak masak yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka siap pada penghujung Januari depan.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan audit secara menyeluruh itu dijalankan sejak Oktober lalu membabitkan seluruh peringkat, negeri serta daerah.

“Terdapat dapatan-dapatan tertentu dan saya tidak nafikan wujudnya ketirisan dalam pelaksanaan subsidi minyak masak ini dan dengan adanya audit ini kita dapat membuat penilaian berapakah keperluan sebenar dan bagaimana kaedah untuk kita perkemaskan.

“Subsidi (itu) perlu, tapi perlu dilaksanakan dengan ada mekanisme untuk kurangkan ketirisan dan penyelewengan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Simposium Kos Sara Hidup Tahun 2023 di sini, hari ini.

Menurut Armizan, Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan subsidi minyak masak berjumlah RM500 juta bagi tahun 2023, namun unjuran menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda iaitu RM1.9 bilion.

“RM500 juta hanya cukup untuk menampung dua bulan iaitu Januari dan Februari, sekarang kita unjurkan sehingga penghujung tahun ini kita perlukan RM1.9 bilion hanya untuk subsidi minyak masak, itu sebabnya kita perlu untuk melihat semula (subsidi),” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, Jemaah Menteri telah membuat keputusan dasar mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar minyak petrol RON95 yang dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, Armizan tidak memberi perincian lanjut mengenai keputusan dasar tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI