fbpx

Penganjur festival ‘buat duit’ jual makanan viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Bila dijamu menu lempeng atau pek nga (sebutan orang utara) bersama gulai ikan temenung pastinya dapat merawat rindu pada kampung halaman, zaman kanak-kanak dulu ketika bersarapan atau dijadikan sebagai hidangan minum petang bersama ahli keluarga.

Kini hanya sekadar lempeng atau pancake, ia telah diinovasi, ditambah baik rasa, rupa dan persembahannya menjadi satu makanan viral yang sangat diminati oleh kumpulan sasarannya, malah ia bukan dijual pada harga RM3 sekeping, tetapi boleh mencecah lebih RM10.

Itulah idea orang muda yang lebih kreatif menjadikan lempeng, donut, pancake, jagung rebus, apam balik dan pelbagai lagi menjadi satu menu popular yang mudah dijual di pasaran pada harga yang munasabah.

Bersesuaian dengan trend tersebut, penganjur festival khususnya kini boleh ‘buat duit’ dengan menganjurkan pelbagai pesta makanan viral yang sangat bersesuaian dengan golongan muda kerana pastinya ia mendapat sambutan menggalakkan.

Pendekatan mereka sangat berbeza dengan penyertaan jenama-jenama makanan viral kebanyakannya hasil usahawan bumiputera yang berusia dalam lingkungan bawah 30 tahun menjadikan festival ini satu platform utama bersemuka dengan pelanggan atau peminat masing-masing selain menjualnya di platform online.

Penulis yang berkesempatan berkunjung ke satu festival makanan tular di Johor Bahru baru-baru ini teruja melihat satu penganjuran aktiviti jualan yang mendapat sambutan begitu hebat sehingga tidak sedar duit ‘mengalir’laju membeli pelbagai makanan yang biasa, tetapi telah diinovasikan menjadi satu menu yang luar biasa.

Namun, untuk mencari makanan yang cenderung ke arah penjagaan kesihatan adalah mustahil kerana semuanya dilimpahi dengan cheese, manisan, gula, coklat dan pelbagai lagi bagi menambah kesedapan makanan dan juga minuman.

Itulah uniknya makanan orang muda, tidak mengapa, minumlah dan makanlah sepuasnya kerana anda orang muda. Penyakit selalunya tidak ‘menjenguk’ lagi, tetapi bagi mereka yang berumur pastinya akan fikir dua, tiga kali untuk merasai pelbagai makanan yang ditawarkan.

Tolak tepi pasal kesedaran penjagaan kesihatan dulu, tetapi inilah realiti perniagaan trend semasa, tetapi ia adalah satu petunjuk baik bagi perkembangan ekonomi dengan melihat penyertaan golongan muda berniaga, mencatat keuntungan berlipat ganda, membina empayar sendiri dengan jenama yang baik.

Bagaimanapun, mana-mana jenama yang semakin popular kini tidak boleh sentiasa selesa berada dalam zon masing-masing kerana mereka perlu berfikir lebih jauh melangkaui masa depan dan terus berkembang ke tahap baharu yang lebih mencabar.

Lebih penting, kerap dapatkan maklum balas daripada pelanggan kerana mereka adalah aset penting untuk menaikkan nama atau menjatuhkan sesebuah jenama itu kerana kuasa membeli di tangan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI