fbpx
MENGHITUNG waktu, Jasmine Suraya menzahirkan rasa bangga menjelang tempoh ‘direkruit’ sebuah institusi di Amerika Syarikat yang pernah melahirkan nama-nama besar industri hiburan antarabangsa.

Jasmine Suraya tak mahu jadi tin kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CARILAH ilmu sehingga ke negara China. Frasa tersebut barangkali kena dengan perjalanan Jasmine Suraya tetapi bukan ke China sebaliknya ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

Meraih peluang keemasan melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan di Lee Strasberg Theatre and Film Institute adalah satu rezeki yang tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

Layak untuk berasa bangga dengan diri sendiri, Jasmine menjadi artis Malaysia pertama melanjutkan pengajian dalam jurusan ‘method acting’ di akademi tersebut, selain satu-satunya selebriti Asia yang berjaya terpilih dalam kemasukan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, institusi tersebut juga pernah melahirkan alumni hebat pemain industri bertaraf antarabangsa seperti Al Pacino, Robert De Niro, Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga.

Justeru, tiada sebab untuk dirinya menolak tawaran tersebut yang diterima beberapa bulan lalu selepas melalui proses kemasukan yang sukar termasuk penulisan esei, uji bakat dan temu duga secara virtual.

JASMINE bakal menyambung pengajian dalam bidang lakonan di Los Angeles, sekali gus menjadi alumni institusi seni yang pernah melahirkan nama-nama besar Hollywood seperti Al Pacino dan ramai lagi.

Bukan laluan yang mudah, namun Jasmine berjaya membuktikan kesungguhan dan kerja kerasnya membuahkan hasil apabila nama disenarai pendek.

Mengakui pernah ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut, dia bagaimanapun tekad menyahut peluang keemasan itu demi mengutip ilmu yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

“Memang sudah lama rancang tetapi apabila dapat tawaran, saya fikir panjang juga sebab perlu tinggalkan banyak benda dalam tempoh setahun.

“Namun tiada sebab untuk saya tolak, bukan senang nak dapat.

“Realitinya, ramai orang Malaysia memiliki bakat besar tetapi tidak diberikan peluang atau platform untuk ketengahkannya kerana kurang kepercayaan daripada pihak yang sepatutnya.

“Justeru, saya lihat peluang ini sebagai pencetus untuk lebih ramai berani dan bekerja keras mengejar impian bergelar anak seni yang berjaya,” katanya.

DEMI mengejar impian, Jasmine sanggup mengetepikan banyak tawaran berlakon termasuk daripada produksi Indonesia.

Tolak tawaran, rehat setahun

Memikirkan mahu menjadi penggiat seni yang bukan ‘tin kosong’, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu sanggup menolak pelbagai tawaran lakonan termasuk untuk sebuah filem Indonesia.

“Rehat setahun dan saya perlu tolak banyak tawaran adalah satu pengorbanan tetapi saya positif bahawa semua ini sekejap sahaja sebab paling penting ialah perancangan hidup untuk jangka masa panjang.

“Adakalanya saya terfikir mengapa banyak tawaran berlakon naskhah hebat hadir pada waktu sekarang, ujian buat diri saya tetapi tidak mengapalah, semuanya demi ilmu,” tuturnya.

Dalam pada itu, bintang filem Paskal itu mendedahkan kos keseluruhan pengajiannya sekitar RM300,000 dan turut menghantar permohonan pembiayaan ke beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Selain agensi kerajaan dan kerajaan Sarawak, saya ada juga mengusulkan hal ini kepada Finas.

“Saya bukan mahu minta duit untuk perbelanjaan peribadi tetapi minta mereka melabur untuk seorang anak seni tempatan yang membawa nama Malaysia ke luar negara.

“Jika mereka melabur, perkara itu buat saya rasa nak berbakti dan bayar semula dengan beri sesuatu kepada industri pada masa depan,” tegasnya yang akan mengeluarkan belanja sendiri sekiranya tiada pihak berminat menaja pengajiannya.

Melanjutkan bicara, aktres berusia 34 tahun itu berpendapat kesukaran mendapatkan tajaan adalah disebabkan wujud segelintir pihak beranggapan industri seni tidak mampu memberi sumbang besar terhadap negara.

“Apa yang saya lihat, industri seni mungkin kurang diiktiraf segelintir pihak dan tidak dilihat sebagai satu sektor besar pun.

“Sepatutnya kita lihat apa yang berlaku di Korea Selatan apabila kerajaan mereka memandang tinggi industri seni sehingga mampu menjana pendapatan besar untuk ekonomi negara,” jelasnya.

MENGAGUMI pencapaian Tan Sri Michelle Yeoh, Jasmine berharap dirinya dapat melakar kejayaan seperti idolanya itu.

Mengejar ‘rasa’

Ditanya mengenai sasarannya untuk melanjutkan pelajaran ke LA, Jasmine berkata, dia ingin mendalami cara menjadi seorang aktres yang mampu memberi ‘rasa’ dalam lakonan.

Katanya, tidak semua memiliki peluang sepertinya ditambah pula jurusan yang diambil disifatkan agak unik.

“Kalau tanya nak jadi apa selepas tamat belajar, saya mahu dilihat sebagai pelakon yang bagus, memiliki kebolehan menyalurkan ‘rasa’ dalam setiap lakonan.

“Bagi saya, ‘method acting’ adalah sesuatu yang sangat asing sebab tak ramai pelakon mampu menggunakan teknik sebegitu,” ujarnya yang pernah melanjutkan pelajaran di Johannesburg, Afrika Selatan dalam jurusan Politik dan Ekonomi.

Selain bagus, dia juga memasang impian untuk berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh yang dianggap sebagai idola dalam dunia lakonan.

“Michelle sangat hebat dan membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk berjaya dan adalah penanda aras yang sangat baik.

“Saya nak jadi pelakon versatil yang secara ikhlas dapat salurkan emosi dan beri jiwa dalam lakonan, bukanya sekadar lakukan sebuah ‘persembahan’ di hadapan kamera sahaja,” kongsinya lagi.

Sementara itu, dia yang popular menerusi drama Adellea Sofea itu juga bersedia untuk berdepan dengan situasi stres sebagai seorang pelajar.

“Saya memang sudah bersedia untuk stres, sejujurnya tidak rasa apa-apa ketika ini dan tak mahu berfikir terlalu banyak.

“Sebenarnya lagi banyak saya fikir, lebih banyak tenaga negatif yang akan hadir. Di sana, saya akan belajar sebanyak mungkin yang boleh.

“Kalau ada peluang, saya akan gunakan peluang setahun berada di LA untuk cuba hasrat masuk dalam industri seni di sana.

“Siapa tahu mungkin ada peluang?” ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

JASMINE ada memohon tajaan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Finas bagi menampung kos pengajian.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN