fbpx

Saringan paru-paru dipacu AI secara percuma kepada komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKHIDMATAN pemeriksaan saringan paru-paru dipacu teknologi kepintaran buatan (AI) secara percuma di Forum Awam LCNM. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR  – Sempena Bulan Kesedaran Kanser Paru-Paru pada bulan ini, AstraZeneca, sebuah syarikat biofarmaseutikal dipacu oleh sains, mengumumkan fasa terbaharu sokongannya untuk Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan saringan paru-paru dipacu teknologi kepintaran buatan (AI) secara percuma di Forum Awam LCNM.

Forum yang berlangsung pada 18 November lalu di Menara KEN, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menawarkan akses percuma kepada X-ray dada mudah alih berkuasa AI dan perkhidmatan perundingan pakar untuk individu. 

Acara penting tersebut mengambil pendekatan holistik untuk memerangi kanser paru-paru, menampilkan sesi pendidikan dengan profesional perubatan dan pejuang kanser, peranti diagnostik AI yang canggih.

Dalam usaha untuk merapatkan jurang pengesanan awal dalam meningkatkan hasil keputusan kesihatan pesakit, AstraZeneca dan LCNM telah mula bekerjasama di bawah Lung Ambition Alliance (LAA) pada tahun 2021 untuk memperkenalkan perkhidmatan pemeriksaan paru-paru berkuasa AI di klinik penjagaan primer swasta, untuk pengesanan awal keabnormalan paru-paru termasuk kanser.  

Inisiatif ini berkembang pada tahun 2022, dengan AstraZeneca bekerjasama dengan hospital tertiari swasta untuk menyelaraskan rujukan pesakit daripada klinik-klinik tersebut untuk diagnosis lanjutan dengan menggunakan imbasan tomografi berkomputer dos rendah (LDCT).

Memasuki tahun keempat, inisiatif LAA terus menggalakkan pemeriksaan saringan paru-paru yang lebih baik, diagnosis awal dan memacu peningkatan kelangsungan hidup yang bermakna untuk individu yang mengalami ketidaknormalan paru-paru.  

Sebagai sebahagian daripada usaha LAA, satu tinjauan awam yang baharu akan dilaksanakan untuk menilai tahap celik kesihatan di Malaysia.  

Tinjauan tersebut memberi tumpuan kepada kesedaran orang ramai tentang kanser paru-paru, tingkah laku penjagaan kesihatan, dan persepsi terhadap pilihan rawatan yang berbeza.  

Selain daripada itu, tinjauan tersebut bertujuan untuk mengenal pasti halangan utama yang menghalang rakyat Malaysia daripada mendapatkan diagnosis lanjutan dengan imbasan LDCT.

Mengulas mengenai LAA di Malaysia,  Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan berkata, di AstraZeneca, mereka komited untuk mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit seperti kanser di negara ini, melalui pemeriksaan saringan awal dan diagnosis untuk meningkatkan hasil kesihatan pesakit.

Menurutnya, matlamat mereka adalah untuk mempromosikan pemeriksaan saringan awal dengan menggunakan teknologi AI yang canggih untuk prognosis kanser paru-paru yang lebih baik, dengan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan pakar dalam ekosistem penjagaan kesihatan.  

“Melalui perkongsian yang telah lama terjalin dengan LCNM, kami berhasrat untuk memajukan diagnosis kanser paru-paru, menjadikannya lebih mudah diakses dan boleh mampu oleh taburan penduduk yang lebih luas.  

“Matlamat muktamad kami adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan dapat dicapai oleh semua individu dengan cara yang saksama dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Kardiotorasik yang juga  Mantan Presiden, LCNM Dr. Anand Sachithanandan berkata, dengan teknologi AI yang menyokong penilaian sinar-X yang pantas dan tepat, pesakit boleh dirujuk untuk diagnosis lanjut menggunakan imbasan LDCT, iaitu satu kaedah saringan yang telah terbukti.   

“Dengan cara ini, individu berisiko tinggi boleh dirujuk dengan cepat untuk rawatan kuratif yang lebih menjimatkan kos, untuk dirawat apabila ianya berada di peringkat awal.”

“Selain daripada itu, teknologi tersebut juga membolehkan pengamal penjagaan kesihatan untuk mengesan lebih daripada 30 jenis penyakit atau patologi yang berkaitan paru-paru, seperti Covid-19, batuk kering, dan fibrosis paru-paru,” jelasnya.

Sejak penubuhan LAA pada tahun 2021, kira-kira 22,000 orang individu di Malaysia telah menjalani pemeriksaan saringan kanser paru-paru, dengan lebih 500 orang pesakit berisiko tinggi telah dirujuk ke hospital terpilih untuk pemeriksaan yang menyeluruh.  

Perkongsian ini menunjukkan kepentingan mengambil pendekatan yang melibatkan pelbagai pihak ke arah mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini, untuk manfaat rakyat dan masyarakat. – KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI