fbpx

Pengeluaran permit pembinaan dipercepat 30 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ OSMO!

MELAKA – Proses pengeluaran permit pembinaan kategori industri di negeri ini dipercepatkan daripada 180 hari kepada 30 hari menerusi Penggalak Perindustrian Melaka (MIB).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan MIB di bawah projek rintis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu bakal memberikan impak positif yang mana proses pemajuan dapat dilaksanakan secara serentak.

Katanya, permohonan lesen operasi juga menjadi lebih cepat dan boleh dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Pemajuan dapat dilaksanakan serentak melalui kebenaran merancang, pelan kerja tanah, pelan jalan dan parit, pelan bangunan serta permit sementara yang dapat diluluskan dalam tempoh 30 hari berbanding proses pemajuan secara berasingan yang mengambil masa sehingga 180 hari.

“Justeru, saya mahu kejayaan MIB ini menjadi pemangkin dalam membantu meningkatkan pelaburan ke Melaka, manakala MPHTJ dapat memperluaskan kawasan industri terancang yang akan diperincikan melalui Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya 2035 (Penggantian) pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambahnya, manual MIB yang dibangunkan MPHTJ dijangka dilaksanakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menjelang akhir suku pertama 2024.

Menurutnya, proses adaptasi itu penting dalam menjadikan Melaka menjadi negeri mesra pelaburan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI