BERBEKALKAN wajah tampan, laluan untuk penyanyi juga pelakon, Cha Eun-woo untuk dikenali ramai tampak mudah.
Hakikatnya, untuk memiliki populariti seperti hari ini bukanlah satu perkara yang mudah buat Eun-woo atau nama sebenarnya, Lee Dong-min.
Perjalanan seni lelaki berusia 26 tahun itu bermula dengan kumpulan K-Pop, Astro yang memulakan langkah pada 2016.
Malah, apa yang melucukan Eun-woo diuji bakat untuk menjadi bintang di agensi Fantagio Entertainment di hadapan tandas.
“Saya masih ingat, terdapat seseorang yang mengekori saya sehingga ke tandas dan akhirnya menguji bakat saya. Selepas itu, semuanya tinggal sejarah,” kongsinya ketika muncul dalam sebuah program televisyen.
Meskipun hadir dengan pakej yang lengkap, pada awal kemunculan, Eun-woo tidak ketinggalan dikritik peminat kerana nyanyian, tarian dan mutu lakonan yang dianggap tidak layak untuk memegang watak utama dalam mana-mana naskhah.
“Zaman menjadi pelatih pun sudah cukup sukar. Saya menangis setiap hari dan mencuba melakukan yang terbaik.
“Tetapi ketika sudah bekerja dalam industri kritikan yang diterima lebih keras. Pengalaman tersebut melatih saya untuk menjadi pengkritik paling tegas untuk diri sendiri.
“Pekerjaan sebagai anak seni memang cukup sukar tetapi saya tidak pernah merungut. Sebaliknya, saya sangat dahagakan ilmu,” katanya yang gemar mempelajari pelbagai bahasa.

Setakat hari ini, Eun-woo fasih bertutur dalam bahasa Korea, Inggeris, Mandarin dan Jepun, bahkan turut mempelajari bahasa Itali serta Latin demi lakonan sebagai paderi dalam sebuah naskhah berjudul Island.
Versatil
Populariti Eun-woo mendadak naik selepas diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama popular My ID is Gangnam Beauty dan True Beauty.
Sejak detik tersebut, dia dihujani banyak tawaran lakonan dan duta produk. Kini, wajah tampannya boleh terpampang di setiap ceruk Korea Selatan, baik mewakili jenama fesyen antarabangsa sehinggalah barangan peralatan rumah.
Meskipun kini sudah terbiasa menerima pujian dek kesempurnaan paras rupa, Eun-woo enggan dikenali sebagai selebriti berwajah tampan semata-mata. Dia sebaliknya mahu dikenali sebagai artis versatil.
“Saya menghargai pujian tentang rupa paras, tetapi sekitar dua tahun lalu saya mempunyai satu keinginan untuk dikenali lebih daripada sekadar berwajah tampan.
“Sekarang saya lebih matang, daripada sibuk memikirkan penghargaan dan pujian, lebih baik saya bekerja keras di jalan yang telah dipilih ini.
“Saya yakin dengan usaha dan kerja keras, penghargaan yang diinginkan akan datang dengan sendiri,” tutur bintang filem Decibel itu lagi.
Selepas tujuh tahun bergelar anak seni, Eun-woo bertegas masih lagi orang yang sama walaupun hakikatnya dia seorang bintang yang menerima bayaran paling lumayan di Korea Selatan.
Buktinya, Eun Woo membeli sebuah apartmen mewah di kawasan Cheongdam-dong, Gangnam bernilai 4.9 bilion won bersamaan RM17.3 juta secara tunai.
“Ketika saya masih kecil, ibu akan melekatkan nota di tepi telefon. Nota tersebut berbunyi: ‘belajar untuk menjadi orang yang bersyukur dan lihat kembali apa yang kamu lakukan’.
“Mesej-mesej itu menjadi sebahagian daripada nilai peribadi diri saya,” kata Eun Woo.
Bintang kelahiran 1997 itu menyifatkan dirinya seorang yang sangat setia dan tidak pernah hanyut dalam populariti.
“Saya seorang yang setia dan tidak pernah berubah walaupun bekerja sebagai anak seni. Saya mudah terasa sensitif jika ada orang berkata buruk tentang orang yang saya sayang,” luahnya.
Romantik komedi
Berkongsi tentang drama terbaharunya, A Good Day To Be A Dog, Eun-woo menyifatkan karya tersebut cukup unik meskipun masih berpaksi pada genre sinonim dengan dirinya iaitu romantik komedi.
“Sudah hampir tiga tahun saya tidak berlakon dalam drama genre romantik komedi.
“Kali terakhir adalah True Beauty. Ketika ditawarkan watak dalam drama ini, timbul kebimbangan andai penonton terlihat wataknya lebih kurang sama dengan drama terdahulu.
“Rasanya, saya perlu meningkatkan mutu lakonan berbanding yang pernah ditampilkan dalam True Beauty. Selepas perbincangan meskipun genre sama, saya dapat beri lakonan yang berbeza,” katanya.
Jika dalam True Beauty, Eun-woo memegang watak pelajar sekolah di dalam siri siaran Viu tersebut, dia menjadi seorang guru sekolah.

“Saya cuba untuk memastikan watak Jin Seo-won itu hampir sama dengan dalam siri webton. Semua pelakon cukup serasi kerana kami di lingkungan umur sama.
“Jika sebelum ini dalam True Beauty saya jadi pelajar sekolah walhal usia bukanlah muda, tetapi dalam siri terbaharu ini, watak dan usia saya amat bersesuaian.
Sumpahan
“Sepanjang penggambaran kami berseronok dan langsung tidak tertekan. Walaupun terdapat cabaran, tetapi seluruh tenaga produksi sangat positif, semua berjalan dengan mudah,” luahnya.
Berbicara tentang heroin siri tersebut, Eun Woo menyifatkan aktres Park Gyu-young seorang yang cukup ceria dan menghiburkan.
“Saya banyak belajar daripada Gyu-young kerana dia cukup ceria dan positif. Set penggambaran akan berubah tenaga daripada suram menjadi ceria apabila Gyu-young hadir.
“Apa pun saya melihat watak Cikgu Jin 70 peratus sama dengan diri saya. Saya seorang yang kekok ketika bertemu dengan orang baharu dan sukar untuk meluahkan emosi, begitu juga dengan Cikgu Jin.
“Saya berharap peminat akan memberi sokongan dengan menonton drama A Good Day To Be A Dog,” kata Eun-woo.
Drama siri A Good Day To Be A Dog lakonan Eun-woo, Gyu-young dan Lee Hyun-woo mengisahkan seorang wanita bernama Han Hae-na berdepan sumpahan bertukar menjadi seekor anjing selepas mencium lelaki.
Demi menghapuskan sumpahan, Hae-na harus mencium kembali lelaki yang sama tetapi dalam rupa seekor anjing.
Siri A Good Day To Be A Dog sedang hangat ditayangkan di laman penstriman, Viu.














