fbpx

Laporan Pengurusan Covid-19 serah kepada PAC bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (tengah) ketika melafazkan ikrar pada Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIR ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan laporan dan maklum balas berhubung syor diberikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Laporan Pengurusan Wabak Covid- 19 termasuk berkaitan isu ventilator.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, laporan itu dijangka diberikan kepada PAC pada bulan depan susulan pembentangan laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

“Kita sebenarnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada PAC, mereka meminta daripada kita maklumat, mengenai perkara yang menjadi perhatian PAC itu, kita sudah beri kerjasama penuh.

“Jadi selebihnya kalau ada lagi yang diperlukan PAC, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kesihatan tadi.

Sebelum ini, PAC memberi masa selama dua bulan kepada KKM untuk menjawab lima syor yang diberi jawatan kuasa itu.

Dalam laporan PAC sebelum ini menyaksikan kerajaan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput yang berpunca daripada kurang permintaan dan kelewatan negara menerima vaksin tersebut.

PAC turut mendapati kerajaan tidak boleh mendapatkan ganti rugi terhadap perolehan 104 daripada 136 ventilator rosak yang diterima KKM pada tahun 2020.

Selain itu, laporan PAC turut mendedahkan berlaku lebihan bekalan PPE dipesan selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan mencapai tarikh luputnya menjelang akhir 2024.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zaliha berkata, KKM juga akan menambah sebanyak 75 klinik lagi daif bagi menjalani proses pembaikkan pada tahun ini dengan menggunakan bajet ditetapkan sebelum ini.

“Untuk tahun ini, kita sasarkan sebanyak 436 klinik daif yang akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM111 juta.

“Namun disebabkan oleh penjimatan dan tata kelola baik yang dilaksanakan KKM, kita akan menambah sebanyak 75 lagi klinik daif untuk kita selesaikan pada tahun ini dengan bajet yang sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI