fbpx

Kerajaan minta, baru saya hantar anggota ke Gaza – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak untuk menghantar anggotanya sebagai pasukan pengaman ke Gaza, Palestin sekiranya memperoleh permintaan daripada kerajaan.

Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan pada ketika ini untuk bertindak demikian kerana situasi di Gaza masih dalam situasi tegang.

“Kalau nak hantar polis, kalau permintaan dari kerajaan yang mana pemintaan dari UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), memang kita akan hantar sebagai pengaman.

“Pada peringkat ini tidak perlu lagi kerana masih berperang, melainkan ada permintaan daripada UN sebagai polis pengaman di sana.

“Setakat ini tiada maklumat diterima berhubung rakyat Malaysia yang pergi ke Gaza, Palestin. Saya nasihatkan tidak perlu pergi ke kawasan peperangan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Mossad, Razarudin berkata, maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mengenai ejen perisikan di negara ini ekoran kelantangan Malaysia berkaitan isu Palestin sedang dikumpul.
Ujar Razarudin, pihak polis melalui risikan akan mengumpul maklumat sebanyak mungkin berkaitan perkara tersebut.

“Ia termasuk isu ejen Mossad, sabotaj ekonomi atau ejen pengintipan. Sekiranya kita mempunyai maklumat tersebut, kita akan tangkap.

“Bagaimanapun, untuk PDRM, sememangnya keselamatan dan ketenteraman di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 iaitu mengumpul maklumat perisikan sememangnya tugas kita yang tidak akan abaikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI