fbpx

Sulaiman mula bersara daripada AmBank 22 November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman akan mula bersara daripada AmBank pada 22 November ini.

PETALING JAYA – AMMB Holdings Berhad (AMMB Holdings) mengumumkan pelantikan Ling Fou-Tsong @ Jamie Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif AmBank (M) Berhad (AmBank) bagi menggantikan Datuk Sulaiman Mohd Tahir yang akan mula bersara pada 22 November ini.

Pengerusi AMMB Holdings, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, Sulaiman telah mencapai umur persaraan syarikat pada usia 60 tahun Januari awal tahun ini setelah menerajui kumpulan perbankan tersebut selama lapan tahun. 

Menurutnya, tempoh perkhidmatannya bersama Kumpulan AmBank membuktikan kecemerlangan beliau dalam mengemudi syarikat mengharungi beberapa cabaran yang mencabar.

“Sulaiman telah meninggalkan legasi pertumbuhan strategik, pembangunan bakat dan transformasi digital, meletakkan AmBank sebagai sebuah institusi kewangan yang berdaya saing dan diiktiraf dalam penawaran rangkaian perkhidmatan pelanggan yang meluas.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah AMMB Holdings dan anak syarikat, saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas di atas sumbangan beliau dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha beliau seterusnya,” kata Md Nor dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jamie

Selain itu, mengenai pelantikan Jamie, 55, beliau adalah seorang akauntan bertauliah yang mempunyai pengalaman serta rekod prestasi perkhidmatan yang terbukti. 

Jamie mula berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sejak dari 2017, yang mana beliau menguruskan spektrum penuh kewangan Kumpulan AmBank, menyelia strategi dan pelaksanaan kewangan Kumpulan.

Pengalaman komersial serta kewangan Jamie yang mendalam merangkumi peranan penting yang dipegang dalam perbendaharaan, kewangan, pengurusan risiko dan jualan bersama institusi perbankan antarabangsa.

Sepanjang 17 tahun, Jamie telah memegang peranan kepimpinan di Malaysia, United Kingdom dan Asia Timur Laut. Jamie merupakan Ketua Pegawai Kewangan Serantau Standard Chartered Bank untuk Greater China dan Asia Timur Laut, meliputi Hong Kong, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun. 

Jamie juga merupakan ahli lembaga Standard Chartered (Hong Kong) Limited dan Hong Kong Note Printing Limited. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI