fbpx

Sultan Nazrin zahir penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (kiri) menyampaikan titah pada istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Penganugerahan Penerima Anugerah Darjah Kebesaran negeri Perak Sempena sambutan rasmi Ulang Tahun Ke-67 Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah yang akan menamatkan pemerintahannya pada 30 Januari ini selepas lima tahun menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah baginda, ketika suasana politik negara dilambung gelombang ketidaktentuan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 menyaksikan buat pertama kalinya Parlimen tergantung, Al-Sultan Abdullah bijak dan membantu mencari jalan sehingga kerajaan perpaduan dibentuk.

Baginda bertitah, Al-Sultan Abdullah akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan termasuk berurusan dengan empat orang Perdana Menteri serta dunia dilanda wabak Covid-19.

“Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia. Sifat baginda berdua menyantuni rakyat, bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja.

“Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024. Atas nama takhta, dan bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Al-Sultan Abdullah begitu juga kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua, mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan, semoga segala amal yang disempurnakan, dikurniakan Ilahi ganjaran dunia, ganjaran akhirat,” titah baginda semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraannya yang Ke-67 di sini hari ini.

Dalam titahnya juga, Sultan Nazrin menzahirkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.

“Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim rejim Zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia,” titahnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI