PASIR PUTEH – Lima nelayan asing warganegara Vietnam dicekup selepas didapati menceroboh dan mencuri sebanyak 500 kilogram (kg) ikan di perairan Kelantan dekat Kuala Bali di sini, pada Isnin lalu.
Bot yang dinaiki lima nelayan termasuk tekong berusia 24 hingga 31 tahun ditahan di lokasi 320 kilometer dari Kuala Tok Bali selepas dikejar Kapal Maritim (KM) Jujur selama lebih satu jam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abd. Rahman berkata, nelayan asing terbabit dikesan menceroboh dan mencuri hasil laut perairan negara kira-kira pukul 9.20 pagi.

Menurutnya, bot tersebut cuba untuk lolos dengan memasuki perairan negara jiran dan nelayan tersebut turut melempar tali ke permukaan air untuk menghalang pihak berkuasa menghampiri bot mereka.
“Anggota APMM mengambil masa lebih satu jam mengejar bot berkenaan sebelum berjaya melakukan ‘force bording’ terhadap mereka untuk pemeriksaan lanjut.
“Kelima-lima nelayan itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain gagal membuktikan surat kebenaran menangkap ikan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Syed Nor Adli memberitahu, pemeriksaan di dalam bot itu menemui ikan baja dan pelbagai jenis ikan masing-masing seberat 500 kg. – KOSMO! ONLINE